Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah melantik, meluluskan atau memberi kuasa kepada mana-mana pertubuhan atau organisasi untuk menganjurkan Misi Sukarelawan Musim Haji 1434 Hijrah atau program seumpamanya.

TH dalam kenyataannya semalam menjelaskan pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai tawaran menjadi Sukarelawan Musim Haji 1434H anjuran sebuah pertubuhan yang beralamat di Kota Damasara dekat sini.
Katanya, misi itu kononnya bertujuan membantu jemaah haji di bawah kelolaan TH dengan meminta peserta yang berminat membuat bayaran RM5,000.

“Hasil siasatan awal TH dan maklumat orang awam mendapati pertubuhan itu mempromosi program berkenaan melalui taklimat di tempat terpilih di seluruh negara selain menghebahkannya melalui Facebook.

“TH sudah menghubungi pihak Kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk pengesahan dan dimaklumkan tiada visa dikeluarkan untuk program seumpama itu,” katanya.

Kenyataan itu menegaskan TH adalah satu-satunya agensi kerajaan yang diamanah dan dipertanggungjawabkan untuk mengurus jemaah haji Malaysia sama ada di tanah air atau di Tanah Suci.

Petugas terlatih
Katanya, TH mempunyai petugas yang terlatih dan berpengalaman terdiri daripada kakitangannya, pembimbing ibadah yang dilantik sendiri oleh agensi itu serta petugas perubatan yang dilantik Kementerian Kesihatan.

Orang ramai dinasihat supaya tidak terpengaruh dengan program seumpama itu dan diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa jika ada unsur yang mencurigakan.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan TH di talian 03-62071919 untuk sebarang maklumat. - BERNAMA