27 June 2010

Judi hak bukan Islam? — Dr Mohd Ridhuan Tee

Sejak akhir2 ini ada dikalangan bekas pemimpin dan pemimpin negara yang mula bersuara tentang judi sukan, menyokong supaya ianya dilesenkan kerana ia adalah hak orang bukan Islam. Adakah judi itu hak mereka? Berikut pendapat Dr Ridhuan Tee tentang perkara ini.....

27 JUN — Albert Einstein pernah berkata: ‘‘God does not play dice with the universe. If God isn’t a gambler, are his followers? Kata-kata itu membuatkan saya amat teruja dengan kenyataan mengenai judi yang dikatakan hak orang bukan Islam. Persoalannya, dari sumber manakah fakta tersebut diperolehi? Atau sekadar mahu mengambil hati atau menjaga hati orang lain? Kita tidak seharus membuat generalisasi bahawa amalan budaya sesuatu kaum merupakan hak mereka, tanpa merujuk kepada sumber asasi atau berautoriti.

Jika kita tidak rajin membaca, sekurang-kurangnya tanyalah mereka lebih arif serta pakar, seperti pakar perbandingan agama atau sami Buddha, Hindu, paderi Kristian dan sebagainya.

Budaya merujuk pakar perlu ada dalam melahirkan masyarakat yang maju, berilmu dan mempunyai daya intelektual yang tinggi. Sedarlah, kita tidak akan tahu semua perkara. Dengan sebab itu, kita mempunyai pengkhususan bidang masing-masing.

Lebih baik bercakap mengikut bidang. Apatah lagi menyentuh sensitiviti agama.

Lebih menyedihkan, kadang-kadang yang jahil murakab pun mahu bercakap.

Akibatnya, makin banyak cakap, makin terserlah kelemahan. Ini memberikan ruang dan peluang untuk mereka yang ingin mengambil kesempatan menangguk di air keruh, terutama ultra kiasu dan sekutunya.

Sepanjang pengetahuan saya mengkaji perbandingan agama sehinggalah memeluk Islam, tidak ada satupun agama yang menghalalkan judi. Begitu juga seperti arak, zina, pelacuran, pergaulan bebas, seks bebas, jenayah, bunuh diri dan sebagainya. Alangkah hinanya sesuatu agama, jika ada yang berpendapat judi dan perbuatan yang disebutkan itu adalah dibolehkan.

Justeru, tidak hairanlah semua agama mengharamkan judi. Ia dikategorikan sebagai dosa besar dan kerja-kerja syaitan. Sila baca pandangan Kristian dalam 1 Timothy 6:9, Matthew 6:13; 26:41, James 4:3; Matthew 18:6-9. 1 Corinthians 15:33. Pandangan Buddha dalam Digha Nikaya, Sigalovada Sutta: The Layman’s Code of Discipline, Dighajanu Sutta, Anguttara Nikaya VIII. 54 dan pandangan Hindu dalam Tirukkural, 94: 931-940 (http://www.buddhanet.net/e-learning/ ethics_s.htm).

Tidak ketinggalan, amalan judi juga diharamkan dalam agama Yahudi. (http://www.beliefnet.com/News/2003/01/Does-God-Play-Dice.aspx). Istilah-istilah moden yang merujuk kepada judi seperti kasino, loteri, mesin slot, dan judi bola sepak, menurut pengamal-pengamal Kristian adalah haram dan berdosa.

Jadi, di manakah hujah untuk menghalalkannya. Sila layari http://gospelway.com/morality/gambling.php.

Saya berasa pelik kenapa kita takut untuk berkata benar. Saya memuji langkah Pemuda Umno yang begitu tegas menolak tindakan menghalalkan judi. Ini selaras dengan gagasan 1 Malaysia.

Namun, jangan pula kita terpengaruh dengan agenda dan propaganda negeri ultra kiasu yang awal-awal lagi membuat gimik mengharamkan judi. Sebenarnya mereka mahu meniru negeri ultra kiasu di selatan Johor, yakni membuka kasino terbesar di Asia sebagai sumber pendapatan. Cuma masa masih tidak mengizinkan. Mereka masih belum mendapat apa yang dicitakan. Jika mereka sudah dapat, saya yakin gaya kepimpinan Umar Abdul Aziz akan dibuang entah ke mana.

Penjudi

Persoalannya, kala agama lain bersependapat dengan kita, kenapa kita pula bertindak melawan arus mahu menghalalkan judi bentuk baru ini? Saya tidak nafikan ada sedikit kebaikan yang dibawa jika ia dijalankan mengikut lunas undang-undang, sekurang-kurangnya tidak wujud lagi penjudi-penjudi haram. Persoalannya, adakah kita yakin dengan membenarkan operasinya, segala masalah akan dapat diselesaikan?

Pada hemat saya, yang haram tidak boleh disahkan, kerana implikasi haram akan menerbitkan keputusan yang haram juga. Logiknya mudah, bila halal + halal, jawapan halal tidak ragu-ragu lagi. Namun, jika haram + halal, jawapannya masih lagi haram. - Mingguan Malaysia

* Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM.

No comments:

Post a Comment