27 November 2013

70 Peratus Remaja Islam Tidak Solat 5 Waktu !

Pada ketika  umat Islam risau dengan penyebaran fahaman Syiah dikalangan masyarakat, juga fahaman Wahabi , kita sebagai ibubapa sebilangannya lupa untuk memastikan anak-anak kita yang sudah baligh untuk menunaikan solat 5 waktu. Mengikut para ulama, jika seseorang itu dapat menjaga solatnya, maka yang lain-lain perkara yang dilakukannya akan sendirinya  kearah kebaikkan.  Moga kita semua berusaha memberi didikan agama secukupnya kepada waris kita.


KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kira-kira 70 peratus remaja Islam didapati tidak solat lima waktu sehari semalam yang menjadi kewajipan umat Islam.

Pengerusi Biro Pembangunan Kepimpinan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohamad Hazizi Abd. Rahman (gambar) berkata, peratusan itu diperolehi hasil kajian terhadap 40 responden setiap tahun selama lima tahun berturut-turut sejak 2005.

Katanya, selama lima tahun itu juga, pihaknya secara konsisten mendapati 70 peratus daripada responden tidak menunaikan solat atau tidak melengkapkan solat lima waktu sehari.
"Ini merupakan penanda aras kepada kita sejauh mana umat Islam khususnya generasi muda memahami dan mendalami ajaran agama itu.

"Ini merupakan masalah besar. Kita sibuk bercakap mengenai pelaksanaan hukum Islam, pelaksanaan hudud tetapi apa maknanya kalau amalan yang menjadi tiang agama pun tidak ditunaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk 'Bahaya Liberalisme' dalam Seminar Ancaman Serangan Akidah anjuran bersama Isma dan Unit Dakwah Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai budaya liberalisme yang semakin menular dalam kalangan rakyat, Mohamad Hazizi berkata, puncanya kerana umat Islam berpecah-belah dan tidak bersatu-padu, walaupun membabitkan isu kepentingan Islam sendiri.

"Sebab itu golongan yang berjuang atas nama kebebasan dan hak asasi manusia semakin berani membuat pelbagai tuntutan yang tidak masuk akal serta bercanggah dengan ajaran Islam. Mereka mahu menerapkan budaya liberalisme di Malaysia," katanya.

Mengambil contoh tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamad Hazizi memberitahu, tindakan itu merupakan gerakan halus 'mendemokrasikan' Malaysia tanpa pengetahuan masyarakat.
"Sebelum kita bantah tuntutan-tuntutan itu, rakyat tidak tahu pun mengenai kewujudan Comango. Ini usaha halus yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia di negara kita.

"Saya berharap semua pihak dapat membantah tuntutan tidak munasabah Comango. Jangan buat secara bermusim sahaja dan untuk kepentingan tertentu," ujarnya.

petikan Utusan Online

No comments:

Post a Comment