Fenomena gerhana bulan separa 16 Jun
Rakyat negara ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan separa selama kira-kira enam jam bermula pukul 1.25 pagi pada 16 Jun ini.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), fenomena yang biasanya berlaku ketika fasa bulan penuh itu disebabkan bulan melintasi bayang bumi.
"Fenomena gerhana tersebut pada 16 Jun ini akan bermula dengan fasa penumbra (P1) pada pukul 1.25 pagi.
"Bagaimanapun semasa fasa ini, kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan bulan merentasi bayang penumbra bumi yang kurang gelap," menurut kenyataan agensi itu di sini hari ini.
Menurut Angkasa lagi, gerhana akan jelas dapat dilihat semasa bulan memasuki bayang umbra bumi (U1) bermula pukul 2.23 pagi sehingga gerhana maksimum pada 4.13 pagi.
Katanya, bulan akan keluar dari bayang umbra bumi (U4) pada pukul 6.02 pagi.
"Gerhana masih terus berlaku sehingga pukul 7.01 pagi tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana bulan berada di kawasan bayang penumbra bumi yang kurang gelap," tambahnya.
Sempena fenomena itu, Angkasa dengan kerjasama Masjid Negara akan menganjurkan aktiviti khas bagi membolehkan orang ramai menyaksikan gerhana bulan separa menerusi beberapa teleskop yang disediakan di pekarangan masjid berkenaan.
"Turut diadakan solat sunat gerhana secara berjemaah di Masjid Negara pada pukul 3 pagi," tambah kenyataan itu.
Untuk keterangan lanjut berhubung program tersebut, orang ramai boleh melayari laman web www.angkasa.gov.my atau menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22734301/4303/5484.
Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ، لاَ يَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا ، وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا
”Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda di antara tanda-tanda kekuasaan Allah. Gerhana ini tidak terjadi karena kematian seseorang atau lahirnya seseorang. Jika melihat hal tersebut maka berdo’alah kepada Allah, bertakbirlah, kerjakanlah shalat dan bersedekahlah.” (HR. Bukhari no. 1044)
Sembahyang Gerhana Matahari dan Bulan
Al-Kusuf (gerhana matahari) pada bahasa digunakan ketika cahaya matahari atau bulan terlindung sama ada sebahagiannya atau kesemuanya. Kebiasaannya, al-kusuf digunakan bagi gerhana bulan. Hukumnya pula ialah sunnah mu’akkadah. Jika sembahyang gerhana itu adalah untuk matahari, maka bacaan hendaklah diperlahankan, manakala jika gerhana bulan, bacaan hendaklah dinyaring dan dikuatkan.
Sembahyang gerhana mempunyai dua cara:
1. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri, dua kali membaca (Al-Fatihah dan ayat) serta dua kali ruku‘ tanpa memanjangkannya (berdiri, membaca dan ruku‘, kemudian berdiri membaca dan ruku‘). Dan sah sembahyang gerhana jika didirikan dua raka‘at dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku‘ seperti sembahyang Juma‘at.
2. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri. Pada setiap kali berdiri dibaca bacaan yang panjang. Dibaca selepas Al-Fatihah, Surah Al- Baqarah atau surah-surah lain yang sama panjangnya pada berdiri kali pertama di raka‘at pertama. Untuk berdiri kali kedua pada raka‘at pertama, dibaca ayat yang menyamai 200 ayat. Manakala bacaan ketika berdiri kali pertama pada raka‘at kedua ialah sekadar 150 ayat. Dan bacaan ketika berdiri kali kedua pada raka‘at kedua ialah bacaan yang menyamai 100 ayat Surah Al-Baqarah.
Kemudian apabila ruku‘, maka dipanjangkannya sehingga menyamai lebih kurang dengan 100 ayat, ruku‘ kedua dipanjangkan sekadar 80 ayat, ruku‘ ketiga sekadar 70 ayat dan ruku‘ keempat sekadar 50 ayat. Cara yang kedua ini adalah yang lebih sempurna. Apabila sembahyang telah selesai, imam bangun berkhutbah dengan dua khutbah, sama seperti khutbah Juma‘at, cuma imam hendaklah mendorong orang ramai supaya bertaubat, melakukan kebaikan serta memberi ingatan agar tidak lalai.
Sumber : http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/ibadat/pembahagian2.htm
No comments:
Post a Comment