03 May 2013

Ingatlah ! Setiap Muslim Bersaudara



Ramai yang terkena demam, iaitu demam pilihanraya. Demam ini akan pulih dengan sendirinya pada 5 Mei nanti.

Sementara kita berdebar menunggu 6 Mei bilamana keputusan pilihanraya yang ke 13 akan diketahui, apakah tanggungjawab kita sebagai umat Islam ?.

Pilihanraya yang muncul setiap 4 atau 5 tahun ini tidak sepatutnya menjadikan umat Islam berpecah. Bahkan ia sepatutnya menguatkan ikatan persaudaran sesama insan jika kita berpegang teguh dengan perintah  Allah SWT.

Perbezaan pendapat atau fahaman politik adalah sesuatu yang lumrah bagi setiap orang dari kita. Apa yang kita harapkan ialah ianya tidak membawa kepada perpecahan sesama muslim.

Erti persaudaraan sebenar tidak mampu dihalang oleh perbezaan politik. Itulah hakikat keimanan sebenar.

Keimanan sejati hanya akan wujud dengan adanya tali persaudaraan yang sebenar dan persaudaraan murni tidak akan bermakna jika seseorang muslim tidak pernah mahu ikut merasai kesedihan dan penderitaan saudaranya.


Bantulah Saudaramu

Rasa cinta dan belas kasihan di antara mereka ini membuahkan sikap saling bantu-membantu, tolong-menolong dan bergotong-royong dalam apa juapun tugas-tugas dan kewajipan yang dibebankan ke atas mereka, apatah lagi dalam keadaan susah dan penderitaan yang menimpa saudara-saudara mereka.
Jama'atul muslimin hakikatnya adalah wihdatul ummah. Ia merupakan batu asas bagi tegaknya bangunan khulafah. Jama'ah yang dengannya umat Islam bersatu tenaga untuk melaksanakan syariat Allah, merupakan realiti sejarah yang pernah dibuktikan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya. Maka ia tidak akan menzalimi dan membiarkannya (menderita)." (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari)

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَSebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat
(Surah Al-Hujraat 49: Ayat ke 10)

No comments:

Post a Comment