14 May 2013

Panas Luar Biasa Bahaya Pada Kanak2

 
 

Kurangkan aktiviti luar rumah, cuaca panas, elak strok matahari - Pakar


KUALA LUMPUR 14 Mei - Orang ramai terutama kanak-kanak dinasihat mengurangkan aktiviti di luar rumah semasa cuaca panas sekarang bagi mengelakkan terkena sunstroke atau strok matahari yang menyebabkan seseorang pengsan.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Perubatan Malaysia, Dr. H. Krishna Kumar berkata, keadaan itu berlaku antaranya disebabkan panas matahari yang menyerap cairan daripada badan mengakibatkan mereka mengalami dehidrasi.

"Walaupun minum banyak air tetap tidak digalakkan melakukan aktiviti di luar rumah kerana air lebih cepat terserap melalui peluh yang dihasilkan.
"Lebih teruk jika terjadi kepada kanak-kanak kerana sistem pertahanan tubuh mereka tidak sekuat golongan dewasa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr. Krishna menasihatkan, kanak-kanak yang berjalan kaki ke sekolah menggunakan payung bagi mengelakkan mereka berasa lemah akibat cuaca panas yang seterusnya akan mengganggu pembelajaran.

Pakar perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. David Quek Kwang Leng menyarankan, penghidap penyakit berbahaya seperti diabetes, jantung dan buah pinggang berunding dengan pakar masing-masing bagi mengetahui cara penjagaan diri semasa cuaca panas.

"Mereka yang normal dan menghidap penyakit serius mempunyai kondisi badan yang berbeza. Maka penjagaan diri mereka juga harus lebih mendalam," katanya.

Beliau berkata, jika kebiasaannya masyarakat perlu minum seliter air setiap hari, ketika cuaca panas orang ramai disaran minum antara satu setengah dan dua liter termasuk pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan banyak.

Katanya, selain kerap mandi untuk menyejukkan badan, penggunaan krim pelindung cahaya matahari juga dapat membantu melindungi kulit daripada terbakar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment