20 December 2010

Bukan Islam Tak Boleh Masuk Masjid/Surau?


Ruang dalam Masjidil Haram

Sampai hari ini, masyarakat Islam masih berbahas tentang apakah orang bukan Islam dibenarkan masuk kedalam masjid atau surau. Kalangan ulama sendiri berselisih pendapat.

Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah ini.

a)Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid.

b)Keduanya: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah.

c) Ketiganya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah.

d)Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.

Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"

Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, kita berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di Negara ini.

Lebih jauh lagi, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.

Petikan Malaysia Today :
Tulisan: DR MUHD NUR MANUTY

No comments:

Post a Comment