07 October 2013

KELEBIHAN IBADAH KORBAN DAN HUKUMNYA

Terdapat hadis di mana Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله عَزَّ وَجَلَّ مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ. فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً


“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah hasan.

Hukum korban ialah sunat muakkad (iaitu sunat yang amat-amat digalakkan oleh agama) bagi orang yang memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Muslim
2. Baligh dan berakal
3. Bebas/merdeka
4. Ada kemampuan; iaitu memiliki lebihan belanja setelah ditolak nafkah dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq.

Ibadah ini terbuka kepada semua orang Islam yang memiliki kelapangan atau kemampuan sama ada orang badar atau orang kampung/pedalaman, orang dalam musafir atau berada dalam negeri dan termasuklah kepada jamaah haji di Mina. Terdapat riwayat dalam Soheh Imam Bukhari dan Muslim yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. melakukan korban di Mina bagi isteri baginda dengan menyembelih lembu. (Riwayat dari Saidatina Aisyah r.a.)

Dimakruhkan meninggalkan ibadah korban ini bagi orang yang memenuhi syarat-syarat di atas. Berkata Imam as-Syafi’ie; “Aku tidak memberi rukhsah untuk meninggalkannya bagi sesiapa yang mampu melakukannya” (yakni Imam Syafi’ie memandang makruh meninggalkannya bagi orang yang mampu).

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment