6 ADAB PUASA
AMALKAN 6 ADAB PUASA
MENJAMIN HIKMAH DAN RAHSIANYA
Hikmah dan rahsianya berpuasa
tidak akan diperolehi sekiranya tidak dipelihara adab-adab puasa dengan
sebaik-baiknya. Maka adab-adab puasa itu antaranya ialah:
PERTAMA:
Menjauhkan diri daripada segala
bentuk perkara yang merosakkan pahala puasa, menjauhkan diri daripada mengumpat,
mencela, mencaci, menista dan seumpamanya. Diriwayatkan oleh Al-Thabrani dari
Abu Ubaidah bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Puasa itu Junnah ( perisai
) selama ia tidak dirosakkan dengan dusta dan umpat”
Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah
dari Abu Hurairah dan Al-Thabrani dan Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda:
“Beberapa ramai orang yang
berpuasa, hasil yang diperolehi daripada puasanya hanyalah lapar dan dahaganya
sahaja. Dan berapa orang yang sembahyang malam, hasil yang diperolehi darinya
hanyalah berjaga malam sahaja.”
KEDUA:
Mengurangkan makan dan minum
sewaktu berbuka dan bersahur. Orang yang berpuasa tidak akan dapat faedah
berpuasa apabila gelojoh sewaktu berbuka dan sewaktu bersahur. Penyediaan
makanan yang berlebihan dan lebih istimewa pada bulan puasa berbanding
bulan-bulan yang lain, membuka ialah jalan untuk menambah selera dan memenuhi
hawa nafsu. Maka puasa tiada lagi berfungsi sebagai pemotong hawa nafsu atau
mematahkan syahwat yang berlebihan.
KETIGA:
Mengurangkan tidur terutama di
siang hari. Kebanyakan antara kita mencari-cari jalan untuk tidur agar tidak
keletihan berpuasa. Ini boleh menghilangkan rahsia dan hikmah puasa yang
sebenarnya. Sepatutnya, keletihan dan kesusahan yang harus kita harungi dan kita
hayati.
KEEMPAT:Menahan
hati daripada memikirkan keinginan–keinginan yang remeh dan urusan–urusan yang
tidak baik. Kita juga kerap memikirkan persediaan-persediaan menyambut hari raya
yang kadangkala lebih banyak diselaputi kemewahan. Sepatutnya puasa mendorong
kita menghindari sikap itu.
KELIMA:
Sentiasa memikirkan azab akhirat
dan memikirkan seksa neraka. Hendaklah kelaparan dan kehausan itu mengingatkan
kita tentang kelaparan dan kehausan ahlul mahsyar pada hari akhirat yang sangat
dahsyat.
KEENAM:
Mencambahkan rasa cemas dan
berharap kepada keampunan dan kasih sayang Allah Taala. Kita tidak mengetahui
sama sekali, apakah puasa kita diterima oleh Allah atau ditolak. Puasa tanpa
adab dan tatasusila samalah ertinya kita makan tanpa zat dan khasiat.
No comments:
Post a Comment