21 July 2013

Tazkirah Ustaz Afendi Che Harun - Malam ke 12

Ustaz Afendi Che Harun - bertugas di Bahagian Halal JAKIM, penceramah jemputan malam ke 13


Kita mestilah menjadi hamba Allah SWT dan bukan hamba Ramadhan. Demikian tazkirah yang disampaikan Ustaz Afendi malam tadi tentang bulan puasa. Umat Islam perlu terus beribadat sebanyak mungkin sebelum Ramadhan berakhir. Peluang yang terbuka luas tidak patut dilepaskan.

Kini kita telah memasuki fasa ke 2 Ramadhan iaitu fasa Makfirah atau fasa pengampunan. Fasa pertama atau 10 hari pertama ialah rahmat.

Amat rugi orang yang tidak merebut segala peluang yang Allah berikan dibulan Ramadhan ini. Kehidupan manusia hanya untuk Allah dan untuk mencapai redha Allah, manusia perlu mencari bekalan yang mencukupi.

Ustaz Afendi menceritakan kisah malaikat Jibril yang diperintah Allah untuk membuat tinjauan dikalangan binatang dimuka bumi ini.

Binatang pertama yang ditemui Jibril ialah seekor kerbau yang sedang berkubang. Jibril bertanya kepada kerbau ini, "adakah kamu suka jadi seekor kerbau?, jawab kerbau itu, "alhamdulillah kerana Allah menjadikan aku seekor kerbau dan bukannya seekor kelawar !

Mendengar kata kerbau itu, Jibril lalu mencari pula sang kelawar. Dia juga bertanya soalan yang sama kepada kelawar ini  "adakah kamu suka jadi kelawar?.  Kelawar menjawab, "alhamdulillah, aku lebih suka jadi kelawar daripada menjadi cacing !" .

Jibril lalu mencari pula cacing dan juga bertanyakan soalan yang sama, " adakah kamu suka jadi cacing?".  Lalu cacing menjawab kepada Jibril, "alhamdulillah, aku seronok jadi cacing dari jadi manusia , kerana manusia yang mati kemudian tidak membawa bekalan amal soleh ke akhirat, akan diseksa dan diazab oleh Allah SWT".

Pengajaran dari peristiwa ini ialah, binatang pun tahu bersyukur kepada nikmat Allah berbanding manusia, yang walaupun mendapat begitu banyak nikmat yang Allah kurniakan, masih bersikap sombong dan takabbur. Alangkah hinanya manusia begini pada pandangan Allah.

Kerana keegoan manusia itulah, lebih ramai manusia pergi ke tempat maksiat dari pergi ke masjid atau surau.  Manusia lebih rela membayar untuk ke tempat maksiat seperti kelab malam daripada menghadiri majlis ilmu di masjid/surau yang percuma, tidak dikenakan apa-apa bayaran.

Amalan bersedekah amat dituntut untuk dibuat pada bulan Ramadhan kerana pahala yang begitu besar. Umat Islam perlu membiasakan diri bersedekah walau di kala senang atau susah. Orang yang pemurah akan dekat dengan Allah dan manusia tetapi orang yang kedekut akan makin jauh dari Allah dan manusia bahkan akan  makin dekat dengan neraka, nauzubillah.

No comments:

Post a Comment