14 July 2013

Tazkirah Malam ke 5 - Ustaz Nasir

Mohd Abd Nasir bin Abdullah
                           Ustaz Mohd Nasir Abdullah

Ustaz Nasir dari Cawangan  Nikah, Cerai dan Rujuk, JAWI memberikan tazkirah Ramadhan malam tadi dalam perspektif yang berbeza. Sesuai dengan tugasnya sebagai Penolong Pengarah di bahagian berkenaan, beliau memberitahu pengalamannya menangani kes-kes perceraian dan rujuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai pedoman kepada jemaah.

Contoh Kenapa Bercerai ?

Kadangkala alasan untuk bercerai adalah terlalu kecil, contoh seperti berikut:-

Kes 1

Sedang si suami asyik menonton TV, datang si isteri menukar channel lain pada remote control . Si suami rasa marah lalu menukar kembali channel yang asal. Suami tadi lalu memberi amaran kepada isterinya , jika dia cuba menukar channel lagi, maka jatuhlah talak. Tetapi isterinya memandang ugutan ini sebagai jenaka si suami lalu menukar  channel di remote control, maka jatuhlah talak.

Kes 2

Suami memberitahu isteri bahawa jika beliau keluar rumah tanpa kebenarannya, maka jatuhlah talak. Maka talak akan jatuh jika isteri melanggar arahan ini.

Kuasa lelaki Jatuhkan Talak

Suami mempunyai kuasa mutlak untuk menjatuhkan talak hanya dengan sekali lafaz. Maka kaum bapa perlulah berhati-hati dengan kuasa ini dan elakkan dari bermain dengan ungkapan talak.

Bercerai dengan SMS juga telah menjadi sebahagian budaya masyarakat hari ini untuk bercerai secara mudah. Jika lafaz telah dijatuhkan samada secara lisan atau SMS, maka pasangan tadi perlulah mendaftar perceraian mereka dengan Mahkamah Syariah dinegeri dimana mereka tinggal dengan seberapa segera untuk elakkan kesulitan dikemudian hari.

Begitu juga jika mereka hendak merujuk, perlu mendaftarkannya di mahkamah Syariah. Jika suami ingin merujuk kepada bekas isteri (dalam masa edah), maka suami hanya perlu memberitahu bekas isterinya tentang hasratnya tersebut. Samada  isterinya menerima atau tidak hasrat tersebut, secara automatik (mengikut Mazhab Imam Shafie)  rujuk tersebut dikira sah. namun jika isteri tak setuju, maka beliau kena membawanya ke mahkamah syariah dan mengaku depan hakim bahawa beliau tidak setuju.




Keganasan rumahtangga

Ustaz Nasir selalu menerima aduan tentang keganasan rumahtangga, selalunya suami yang pukul isteri tetapi terdapat juga kes suami yang kena pukul dengan isteri dan mengadu kepada pejabat Agama sedangkan suaminya bekerja sebagai penarik kereta !

Kewajipan Bersolat

Perseceraian banyak berlaku kepada rumahtangga yang tidak dikendali dengan baik oleh pasangan berkenaan. Dalam banyak kes perceraian, suami selalunya adalah seorang yang selalu mengabaikan kewajipan bersolat bahkan ada yang langsung tak bersolat !. Maksudnya, jika tiang agama (solat) tidak ditegakkan maka runtuhlah benda-benda yang lain termasuk rumahtangga.

Nasihat Ustaz Nasir

Beliau menyeru kepada umat islam untuk mengambil berat tentang hidup beragama terutama solat. Jika solat dijaga, InsyaAllah, perkara lain mudah yang menjadi baik. Jika manusia menjaga hubungan dengan Allah, nescaya Allah akan menjaga kita.

Perselisihan pendapat dan pergeseran antara suami dan isteri adalah perkara biasa dan merupakan rencah serta asam garam kehidupan berumahtangga. Cuma pasangan ini perlulah pandai mengawalnya dari berlarutan serta menyelesaikan apa jua konflik antara mereka dengan cara yang berhikmah. InsyaAllah, rumahtangga akan aman bahagia.

No comments:

Post a Comment