Imam 12 Pengikut Syiah
Soalan: Salam ustazah, akhir-akhir ini terdapat ajakan dan seruan sekumpulan orang di Malaysia yang mengajak ummat Islam mengikuti ajaran Syiah. Saya ingin penjelasan tentang kedudukan Syiah dalam aqidah Islam, adakah benar mereka kafir atau masih dianggap muslim?
Jawapan oleh Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad Timb. KW IKRAM Johor
Jawapan:
Untuk makluman , JAKIM (Jabatan Kemajuan ISLAM Malaysia) telah mengeluarkan artikel khas bagi memberi penjelasan tentang kesesatan SYIAH. Bahawa ajaran Syiah adalah sesat dan tidak boleh dianuti.
Berikut adalah ringkaskan dari penjelasan tersebut:
Ajaran dan fahaman Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng dari ajaran Islam dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara khususnya di Malaysia. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya dari berkembang di Malaysia berdasarkan beberapa percanggahan yang terdapat di dalam fahaman tersebut sama ada dari sudut akidah, syariah dan pelbagai penyelewengan umum yang lain.
Golongan Syiah ini berpecah kepada beberapa kumpulan. Tetapi penjelasan ini hanya disebut tiga (3) kumpulan yang terbesar iaitu:
i. Syiah Imam Dua Belas (Ja’fariyah) : Kumpulan ini merupakan golongan Syiah yang terbesar di Iran dan merangkumi hampir 60% daripada penduduk Iraq. Golongan ini juga menjadi kumpulan minoriti di beberapa buah negara seperti Pakistan, Afghanistan, Lebanon dan Syria.
ii. Syiah Zaidiyah : Kumpulan yang dikenali dengan nama Syiah Imam Lima ini berkembang di Yaman dan hampir 40% daripada penduduk negara tersebut adalah pengikut Syiah Zaidiyah.
iii. Syiah Ismailiyah : Kumpulan ini mempunyai Imam Tujuh dan pengikutnya dianggarkan seramai 2 juta orang. Kumpulan ini sekarang berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syria dan Timur Afrika.
Di Malaysia terdapat tiga (3) kumpulan Syiah yang berkembang semenjak beberapa tahun yang Ialu iaitu:
i. Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra) : Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia ia dikenali dengan golongan yang memiliki Kedai Bombay. Kumpulan yang berpusat di daerah Kelang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjidnya sendiri dan pengikutnya dianggarkan seramai 200 hingga 400 orang (tahun 1996).
ii. Syiah Ismailiah Agha Khan: Kumpulan yang dikenali dengan nama Kedai Peerbhai ini bergerak di sekitar Lembah Kelang. Jumlah pengikut tidak diketahui tetapi bilangannya lebih kecil dari kelompok Bohra.
iii. Syiah Ja’fariyah @ Imamiah Ithna Assyariyyah (Imam Dua Belas) Pengaruh fahaman Syiah ini kian menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Di Malaysia, pengikut kumpulan ini dianggarkan antara 300 hingga 500 orang.
PENYELEWENGAN FAHAMAN SYIAH
A. PENYELEWENGAN DARI SUDUT AKIDAH.
I. PERCAYA BAHAWA KHALIFAH DIWASIATKAN SECARA NAS
Syiah mempercayai imam-imam telah ditentukan oleh Allah melalui lisan Rasul-Nya secara nas. Syiah mempercayai wasi Rasulullah s.a.w. ialah Saidina Ali. Kemudian Saidina Ali mewasiatkannya pula kepada anaknya Hasan dan Hasan mewasiatkannya pula kepada Hussain sehinggalah kepada Imam Dua Belas AI-Mahdi AI-Muntazar. la merupakan sunnah Allah kepada semua Nabi-nabi bermula daripada Nabi Adam sehinggalah kepada Nabi yang terakhir.
Saidina Ali pada gambaran orang Syiah
II. IMAM ADALAH MA’SUM (TERPELIHARA DARI DOSA KECIL DAN BESAR) Syiah meyakini bahawa Imam-imam adalah maksum dari peringkat kanak-kanak sehinggalah meninggal dunia. Kedudukan mereka sama seperti Nabi-nabi. Pada iktikad mereka, Imam-imam tidak melakukan kesalahan dan tidak lupa. Imam adalah pemelihara syariat dan melaksanakan hukum-hukum.
ULASAN: Jelas terdapat dalam al-Quran dan Hadith-hadith sohih menyatakan bahawa yang maksum hanyalah para rasul dan anbia’ sahaja. Oleh itu dalam hal-hal yang berkaitan dengan akidah, memerlukan kepada dalil-dalil yang qat’ie. Ini dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran seperti berikut yang bermaksud: “Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (sama ada al-Quran dan Hadith) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. “ (An-Najm 3-4)
III. ILMU ALLAH BERUBAH-UBAH MENGIKUT SESUATU PERISTIWA YANG BERLAKU KEPADA MANUSIA (AL-BADA’) Menurut akidah Syiah, al-Bada’ ialah Allah mengetahui sesuatu perkara setelah berlaku peristiwa berkenaan yang sebelum itu dianggap tersembunyi daripada Nya.
ULASAN: Pendapat di atas adalah bertentangan dengan al-Quran al-Karim yang menyebut bahawa Allah mengetahui secara terperinci dan menyeluruh sepertimana yang dijelaskan oleh ayat-ayat berikut yang bermaksud: “Allah mengetahui pengkhianatan (keserongan) pandangan mata seseorang. Serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.”(Surah al-Mukmin ayat 19)
IV. KEMUNCULAN SEMULA IMAM MAHDI DAN KUMPULAN ORANG YANG TELAH MATI UNTUK MEMBERI KEADILAN (AR-RAJ’AH) Pengikut Syiah dikehendaki percaya bahawa Allah S.W.T. akan menghidupkan semula orang-orang yang telah mati ke dunia ini bersama-sama Imam Mahdi untuk menghukum orang-orang yang telah melakukan kezaliman. Mereka termasuk para sahabat Rasulullah seperti Saidina Abu Bakar, Omar, Uthman, Aisyah, Hafsah, Muawiyah dan lain-lain.
ULASAN: Konsep kepercayaan ini adalah salah. Mereka berpegang kepada firman Allah dalam surah al-Mu’min ayat 11 . Sebenarnya ayat ini menjelaskan dialog di antara orang-orang kafir dengan Allah S.W.T. di akhirat di mana mereka ingin mencari jalan keluar daripada seksaan api neraka dengan memohon kepada Allah supaya diberi peluang hidup semula ke dunia, mereka mengaku dan insaf terhadap dosa-dosa yang telah mereka lakukan dahulu.
V. BERPURA-PURA (AT TAQIYYAH) Menurut akidah Syiah, al-Taqiyyah ialah menyembunyikan sesuatu yang boleh membahayakan diri atau harta bendanya dengan melahirkan yang bukan hakikat sebenar dari kandungan hatinya. Al-Taqiyyah ini diamalkan dalam setiap perkara kecuali di dalam masalah arak dan menyapu dua khuf.
ULASAN : Mengikut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sifat ini perlu dijauhi kerana ia mempunyai ciri-ciri sifat nifaq berdasarkan firrnan Allah yang bermaksud: ” Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan), yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri kepada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu) Ali Imran: 28
Tidak ada Taqiyyah seperti ini dalam ajaran Islam, yang ada di dalam Islam ialah masalah rukhsah, umpamanya jika seseorang itu dipaksa dan diugut dengan kekerasan supaya melafazkan kata-kata kafir, maka waktu itu diharuskan orang itu melafazkannya, tetapi hatinya tetap dengan iman yang sebenar, tidak ada ragu sedikit pun sebagaimana yang berlaku kepada Ammar bin Yasir, sehingga Allah menurunkan ayat 106 Surah al-Nahl memperakui kebenaran beliau, firman-Nya yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang dipaksa (melakukan kafir) sedangkan hatinya tenang tenteram dengan iman.”
Hari Karbala - menyiksa diri sendiri
VI. KONSEP aL MAHDIAH
iaitu Kepercayaan kepada Muhammad bin Hassan al-Askari sebagai Imam Mahdi al-Muntazar. Syiah Imamiah mempercayai bahawa Muhammad bin Hassan al-Askari adalah imam yang ditunggu-tunggu yang telah hilang dan akan muncul semula untuk memerintah dan menghukum orang-orang yang melakukan kezaliman. Beliau telah menghilangkan diri selama 65 tahun mulai tahun 260H hingga 329H.
Pada masa ini orang Syiah boleh menghubungi imam mereka melalui wakil-wakilnya seramai empat orang iaitu Uthman Ibnu Said al-Umri dan anaknya Muhammad Ibnu Uthman dan Husain Ibnu Ruh serta Ali Ibnu Muhammad al-Samiri. Zaman ini dikenali sebagai Ghaibah Sughra. Manakala Ghaibah Kubra pula bermula selepas tahun 329H hingga lahirnya Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu. Dalam tempoh ini, sesiapapun tidak boleh menghubungi Imam Mahdi walaupun melalui wakil-wakilnya. Sekiranya boleh dihubungi ia dianggap sebagai pendusta. Perkara ini dijelaskan dalam Kitab al-Syiah Wa al-Tashih al-Sira’Baina al-Syiah Wa al-Tasyayyu’ oleh Doktor Musa al-Musawi, hal. 61.
ULASAN: Pada dasarnya Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak menolak kemunculan Imam Mahdi, tetapi ia bukanlah Muhammad bin Hassan al-Askari sebagaimana yang didakwa oleh golongan Syiah itu. Malah apa yang jelas melalui hadith Nabi s.a.w ialah Imam Mahdi adalah daripada keturunan Rasulullah. Ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: “Daripada Ummu Salamah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: Imam Mahdi daripada keturunanku daripada anak Fatimah” Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Hakim
VII. PENYANJUNGAN YANG KETERLALUAN KEPADA SAIDINA ALI Syiah menyanjung Saidina Ali berlebih-lebihan sehingga ia disamatarafkan dengan Rasulullah SAW. Bahkan dalam beberapa hal Saidina Ali dianggap lebih tinggi lagi.
ULASAN Tidak terdapat di dalam al-Quran atau Hadith sohih yang menyatakan Saidina Ali mempunyai martabat seperti Rasulullah apatah lagi lebih daripadanya. Dengan kepercayaan yang keterlaluan terhadap Saidina Ali ini adalah amat menyeleweng dan satu khurafat yang sangat nyata. Nama Saidina Ali tidak terdapat di dalam al-Quran, kerana beliau bukan seorang nabi atau seorang Rasul, tetapi hanya sebagai sahabat dan menantu Rasulullah s.a.w. yang dijamin masuk syurga.
Namun Nabi Muhammmad s.a.w. sendiri tidak disanjung-sanjung dan dipuja-puja oleh para sahabat secara berlebih-lebihan sehingga melampaui batas. Ini bertepatan dengan hadith: Al-Zuhri berkata; Urwah bin al-Zubair memberitahuku daripada al-Miswar bin Makhramah bin Urwah berkata ” Wahai kaum, demi Allah sesungguhnya aku diutuskan kepada raja-raja dan aku sendiri diutuskan kepada raja Kaisar Kisra dan raja Najasyi, demi Allah jika engkau lihat, seseorang raja sahaja yang disanjung oleh rakyatnya, tetapi para sahabat Nabi Muhammad s.a. w. tidak menyanjung Nabi Muhammad s.a.w.” Riwayat Ahmad
VIII. MENKAFIRKAN PARA SAHABAT RASULULLAH SAW
Golongan Syiah ini mempercayai bahawa selepas wafat Rasulullah s.a.w. semua sahabat murtad kecuali Ahlul-Bait dan beberapa orang sahabat terrnasuk Abu Dzar, Miqdad bin Aswad, Salman al-Farisi dan Ammar. Perkara ini disebutkan dalam Kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi juz. 27, hal 64-66.
IX. MENUDUH SAHABAT Abu Bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah sebagai Empat Berhala Quraisy Serta Pengikut-pengikut Mereka Adalah Musuh Allah Golongan Syiah menuduh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah sebagai empat berhala Quraisy. Ini dinyatakan dalam Kitab Tuhfah al-Awam Maqbul oleh al-Syed Manzur Husain hal.330. dan di dalam kitab al-Tafsir oleh Abu al-Nadhar Muhammad bin Masud bin lyasy al-Salami al-Samarqandi terkenal dengan panggilan Ibn al-Iyasyi hal. 11 6.
Daripada Abu Hamzah al-Thumali, Abu Jafar a.s. berkata ” Wahai Abu Hamzah sesungguhnya yang beribadah kepada Allah ialah mereka yang mengenal Allah. Maka adapun mereka yang tidak mengenal Allah seolah-olah ia menyembah selain Allah. ……..……..Aku bertanya lagi, “Siapakah musuh-musuh Allah, semoga Allah memberi kebaikan kepada engkau.” Iajawab, “Empat berhala.” Ia bertanya lagi “Siapa empat berhala itu”? Ia menjawab, “Abu Fusail (Abu Bakar) Rama’ (Umar) Nathal (Uthman) dan Muawiyah dan sesiapa yang menganut agama mereka dan memusuhi kesemua mereka ini (wali Allah), maka sesungguhnya ia telah memusuhi musuh-musuh Allah.”
ULASAN : Terdapat di dalam al-Quran dan Hadith yang menjelaskan tentang keadilan dan sanjungan terhadap para sahabat yang membersihkan mereka daripada sebarang tuduhan yang tidak benar. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya Allah redha akan orang-orang yang beriman ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiah), maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati meraka, Ialu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.( al-Fath:18) Sabda Nabl s.a.w. yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah ra. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Jangan kamu mencaci sahabat-sahabatku, demi Allah yang nyawaku berada dalam kekuasaan-Nya, sekiranya seseorang kamu membelanjakan emas sebesar bukit Uhud (maka perbelanjaan itu tidak dapat menyamai) secupak atau setengah cupak yang dibelanjakan oleh para sahabat “ Riwayat Bukhari dan Muslim
X. MENGHALALKAN NIKAH MUT'AH Golongan Syiah menghalalkan nikah Mut’ah. Perkara ini dinyatakan dalam Kitab Man La Yahduruhu al-Faqih oleh Abu Ja’far Muhammad b. Ali b. al-Husain Babawaih al- , Juzu’ 1 hal. 358: Terjemahannya: “Adapun mut’ah maka sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menghalalkannya dan tidak mengharamkannya sehinggalah baginda wafat. Abu Ja’far al-Baqir meriwayatkan dalam kitab Man La Yahduruhu al-Faqih Oleh Abu Ja’far Muhamad bin Ali bin al-Husain, hal: 358 . Terjemahannya: “Bukan dari kami orang yang tidak mempercayai AI-Raj’ah dan tidak menganggap halal mut’ah kita”. Nikah Mut’ah boleh dilakukan dengan perempuan Yahudi, Nasrani, Majusi, anak dara tanpa izin bapanya dan juga perempuan pelacur. Apabila dilakukan akad hendaklah disebut mahar dan tempoh yang diredhai oleh kedua-duanya. Sekurang-kurang mahar ialah semangkuk gula atau segenggam makanan dan sebagainya. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab al-Nihayah Fi Mujarad al-Fiqh Wa al-Fatawa oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Hasan bin Ali AI-Tusi. hal. 490 – 491 dan kitab Tahzib al-Ahkam oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Hasan al-Tusi. hal. 254
ULASAN Nikah Mut’ah telah diharamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w buat selama-lamanya sehingga hari kiamat menerusi hadith-hadith sahih sebelum baginda wafat dan salah seorang perawi hadith tersebut ialah Saidina Ali sendiri. Antara hadith-hadith tersebut ialah: Daripada Ali bin Abu Talib katanya: “Bahawa Rasulullah s.a.w. melarang nikah mut’ah pada hari peperangan Khaibar dan melarang juga memakan daging kaldai jinak”. Riwayat Ibn Majah dan al-Nasai Daripada al-Rabi’ bin Sabrah daripada bapanya katanya, kami keluar bersama-sama Nabi s.a. w. semasa haji Wida’ di mana Baginda bersabda: “Wahai manusia sesungguhnya aku telah mengizinkan kamu melakukan mut’ah (tetapi) ketahuilah, sesungguhnya Allah S.W.T telah mengharamkannya sehinggalah hari kiamat, sesiapa yang masih ada perempuan mut’ah di sisinya, maka hendaklah ia melepaskan kehendaknya dan janganlah kamu mengambil sesuatu yang kamu telah memberikannya. Riwayat Ibnu Majah
XI. MENAMBAH SYAHADAH Golongan Syiah menambah nama Saidina Ali dalam syahadah selepas nama Nabi Muhammad s.a.w. Perkara ini dinyatakan di dalam Kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Kulaini, Juzu’ 1, hal. 441
ULASAN Golongan Syiah menambah nama Saidina Ali dalam syahadah. Perkara ini jelas bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah yang menyebut bahawa syahadah hanyalah kepada Allah dan Rasul-Nya sahaja, tidak kepada Saidina Ali. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad) mereka berkata, “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya serta sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” Surah al-Munafiqun ayat 1 Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : Islam itu dibina di atas lima perkara iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakatt, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan” Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain
XII. MENOLAK HADITH YANG DIRIWAYATKAN Oleh Ahlu Sunnah Wal Jamaah
Sekalipun Hadith Mutawatir. Golongan Syiah juga menolak semua hadith yang diriwayatkan oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah walaupun hadith itu sampai kepada darjat mutawatir. Mereka hanya berpegang kepada Hadith yang diriwayatkan oleh Ahlul Bait sahaja. Pegangan ini disebut di-dalam buku Aslu al-Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad al-Husain Ali Kasyif al-Ghita’ halaman 149: Syiah juga tidak menerima hadith-hadith Yang diriwayatkan oleh para sahabat terrnasuklah khalifah al-Rasyidin (kecuali Saidina Ali) dan para sahabat agung yang lain seperti Abu Hurairah, Samurah bin Jundub, Marwan bin al-Hakam, Imran bin Hathan al-Khariji dan Amru bin al-As. Apa yang mereka terima ialah hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ali dan Ahli Bait. Perkara ini dinyatakan dalam Kitab Aslu al-Syiah Wa-Usuluha oleh Muhammad Husain Ali Khasif al-Ghita’, hal. 149.
ULASAN Syiah meyakini para sahabat telah murtad, dengan demikian kedudukan mereka sebagai perawi hadith adalah tidak adil. Perkara ini bertentangan dengan al-Quran dan Hadith-hadith sohih kerana al-Quran sendiri telah menyebut para sahabat adalah adil dan diberi pujian yang tinggi. Oleh yang demikian segala periwayatan yang dibawa oleh mereka hendaklah diterimapakai dan dihayati oleh seluruh umat Islam sepanjang zaman.
Rencana diatas adalah Petikan dari Laman Web IKRAM Johor
http://johor.wanita.ikram.org.my/index.php/soal-jawab/soal-fiqh/261-apakah-kedudukan-syiah-dalam-aqidah-islam-bah-1
Link berkaitan syiah
Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan - Syiah Sebagai sesat
http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/PENYELEWENGANSYIAH.pdf
Serbuan ke Sarang Syiah
http://darulriyadh.blogspot.com/2012/11/markaz-syiah-di-melaka-diserbu.html
NGO Penyokong Syiah
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2011/05/27/ngo-mahu-jais-hentikan-penghapusan-mazhab-syiah/
No comments:
Post a Comment