27 June 2010

Berkerjasama Membersih Surau

Jemaah surau menghabiskan cuti hari ini dengan membantu membersihkan surau, memperbaiki bumbung yang bocor, mengemaskan bilik stor dan sebagainya. Terimakasih kepada semua yang hadir. Terimakasih kepada Pak Rosli dan Adi yang menyumbang roti canai dan kuih untuk sarapan.


Barisan sukarelawan bersedia untuk bertugas !


Sdr Azhar menyapu simen kalis air pada bumbung dikawasan imam yang selalu bocor bila hujan


Sampah sarap yang dibuang keatas bumbung surau, sungguh tak bertimbang rasa


Membersih penapis a/cond


Pak Aziz mevakum karpet

Judi hak bukan Islam? — Dr Mohd Ridhuan Tee

Sejak akhir2 ini ada dikalangan bekas pemimpin dan pemimpin negara yang mula bersuara tentang judi sukan, menyokong supaya ianya dilesenkan kerana ia adalah hak orang bukan Islam. Adakah judi itu hak mereka? Berikut pendapat Dr Ridhuan Tee tentang perkara ini.....

27 JUN — Albert Einstein pernah berkata: ‘‘God does not play dice with the universe. If God isn’t a gambler, are his followers? Kata-kata itu membuatkan saya amat teruja dengan kenyataan mengenai judi yang dikatakan hak orang bukan Islam. Persoalannya, dari sumber manakah fakta tersebut diperolehi? Atau sekadar mahu mengambil hati atau menjaga hati orang lain? Kita tidak seharus membuat generalisasi bahawa amalan budaya sesuatu kaum merupakan hak mereka, tanpa merujuk kepada sumber asasi atau berautoriti.

Jika kita tidak rajin membaca, sekurang-kurangnya tanyalah mereka lebih arif serta pakar, seperti pakar perbandingan agama atau sami Buddha, Hindu, paderi Kristian dan sebagainya.

Budaya merujuk pakar perlu ada dalam melahirkan masyarakat yang maju, berilmu dan mempunyai daya intelektual yang tinggi. Sedarlah, kita tidak akan tahu semua perkara. Dengan sebab itu, kita mempunyai pengkhususan bidang masing-masing.

Lebih baik bercakap mengikut bidang. Apatah lagi menyentuh sensitiviti agama.

Lebih menyedihkan, kadang-kadang yang jahil murakab pun mahu bercakap.

Akibatnya, makin banyak cakap, makin terserlah kelemahan. Ini memberikan ruang dan peluang untuk mereka yang ingin mengambil kesempatan menangguk di air keruh, terutama ultra kiasu dan sekutunya.

Sepanjang pengetahuan saya mengkaji perbandingan agama sehinggalah memeluk Islam, tidak ada satupun agama yang menghalalkan judi. Begitu juga seperti arak, zina, pelacuran, pergaulan bebas, seks bebas, jenayah, bunuh diri dan sebagainya. Alangkah hinanya sesuatu agama, jika ada yang berpendapat judi dan perbuatan yang disebutkan itu adalah dibolehkan.

Justeru, tidak hairanlah semua agama mengharamkan judi. Ia dikategorikan sebagai dosa besar dan kerja-kerja syaitan. Sila baca pandangan Kristian dalam 1 Timothy 6:9, Matthew 6:13; 26:41, James 4:3; Matthew 18:6-9. 1 Corinthians 15:33. Pandangan Buddha dalam Digha Nikaya, Sigalovada Sutta: The Layman’s Code of Discipline, Dighajanu Sutta, Anguttara Nikaya VIII. 54 dan pandangan Hindu dalam Tirukkural, 94: 931-940 (http://www.buddhanet.net/e-learning/ ethics_s.htm).

Tidak ketinggalan, amalan judi juga diharamkan dalam agama Yahudi. (http://www.beliefnet.com/News/2003/01/Does-God-Play-Dice.aspx). Istilah-istilah moden yang merujuk kepada judi seperti kasino, loteri, mesin slot, dan judi bola sepak, menurut pengamal-pengamal Kristian adalah haram dan berdosa.

Jadi, di manakah hujah untuk menghalalkannya. Sila layari http://gospelway.com/morality/gambling.php.

Saya berasa pelik kenapa kita takut untuk berkata benar. Saya memuji langkah Pemuda Umno yang begitu tegas menolak tindakan menghalalkan judi. Ini selaras dengan gagasan 1 Malaysia.

Namun, jangan pula kita terpengaruh dengan agenda dan propaganda negeri ultra kiasu yang awal-awal lagi membuat gimik mengharamkan judi. Sebenarnya mereka mahu meniru negeri ultra kiasu di selatan Johor, yakni membuka kasino terbesar di Asia sebagai sumber pendapatan. Cuma masa masih tidak mengizinkan. Mereka masih belum mendapat apa yang dicitakan. Jika mereka sudah dapat, saya yakin gaya kepimpinan Umar Abdul Aziz akan dibuang entah ke mana.

Penjudi

Persoalannya, kala agama lain bersependapat dengan kita, kenapa kita pula bertindak melawan arus mahu menghalalkan judi bentuk baru ini? Saya tidak nafikan ada sedikit kebaikan yang dibawa jika ia dijalankan mengikut lunas undang-undang, sekurang-kurangnya tidak wujud lagi penjudi-penjudi haram. Persoalannya, adakah kita yakin dengan membenarkan operasinya, segala masalah akan dapat diselesaikan?

Pada hemat saya, yang haram tidak boleh disahkan, kerana implikasi haram akan menerbitkan keputusan yang haram juga. Logiknya mudah, bila halal + halal, jawapan halal tidak ragu-ragu lagi. Namun, jika haram + halal, jawapannya masih lagi haram. - Mingguan Malaysia

* Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM.

26 June 2010

PERKIM LANCAR SAHABAT PERKIM


Hj Kairom, Datuk Hasbullah serta Tn Hj Hanif dikanan sekali



Perkim Kebangsaan telah mengambil inisiatif melancarkan Sahabat Perkim bermaksud mengumpul tenaga sukarelawan yang sanggup membantu kakitangan Perkim menjalankan aktiviti gerakkan dakwah kepada masyarakat diseluruh Malaysia. Perkim mempunyai tenaga kerja yang terhad dan amat memerlukan bantuan dari masyarakat.

Gerakkan dakwah mungkin terdiri dari aktiviti ziarah, bantuan, membantu fakir miskin, melawat hospital, melawat perkampungan orang asli, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Datuk Hj Hasbullah - Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan pada 20 Jun yang lepas di Hotel Grand Pacifific, KL. Buat permulaan, seramai 70 orang sukarelawan menjadi Sahabat Perkim yang pertama dan menerima kad Sahabat Perkim serta vest.

Untuk maklumat lanjut, sila lawat laman web berikut:-
http://www.perkim.net.my/event.cfm?eventID=5D623BC4-D9DD-C6BC-277EAD34D94FD01E/

24 June 2010

Kembali Ke Rahmatullah

Alfatihah kepada keluarga allahyarham En Azam Mat Zain dari Blok B-13-20 yang kembali kerahmatullah pada hari Selasa yang lepas, pada waktu Subuh. Beliau berumur 45 tahun. Beliau telah disemadikan dikampung halamannya di Seremban.

Liputan oleh RTM

Pihak RTM akan datang membuat liputan berita ke surau kita pada hari ini, mulai jam 7 petang sehingga waktu Isyak. Kami berharap lebih ramai akan turun berjemaah kerana pada hari ini, khamis, seperti kebiasaan akan diadakan bacaan Yassin, Tahlil dan doa selamat untuk kesejahteraan semua muslimin.

21 June 2010

Kiblat Terpesong 1 darjah, 125km Tersasar dari Kaabah


Melihat arah matahari terbenam sebagai panduan arah kaabah adalah tidak tepat !


Sudah semestinya umat Islam perlu menghadap Kaabah yang menjadi kiblat apabila mendirikan solat dan ketika dikebumikan selepas meninggal dunia.

Walaupun dengan kedudukan Kaabah di Makkah menjangkau ratusan ribu kilometer, menetapkan arah kiblat sebenarnya tidak menjadi persoalan kerana ilmuwan Islam benar-benar menguasai ilmu falak untuk menyelesaikan masalah itu sekadar berpandukan kedudukan cakerawala seperti bintang dan matahari.Bagaimanapun, kekurangan orang Islam yang benar-benar memahami ilmu falak ketika ini menimbulkan persoalan bagaimana untuk menentukan arah kiblat yang tepat.

Ini kerana, ada umat Islam masih menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah matahari terbenam, sedangkan cara itu tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada arah matahari terbenam.

Menyedari kesilapan itu, sewajarnya umat Islam di seluruh dunia tidak lagi menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam. Malaysia sudah tidak lagi menggunakan kaedah ini, sebaliknya berpandukan ilmu falak syarie seperti yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dengan kepesatan teknologi, perkara sebegini tidak sepatutnya menjadi masalah sehingga membawa kepada timbulnya pertelingkahan kerana sudah ada pelbagai peralatan canggih yang boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penyelidikan Jakim, Che Alias Che Ismail, berkata penentuan arah kiblat yang tepat amat penting terutama dalam pembinaan masjid atau surau bagi memastikan ia tidak tersasar. Beliau menegaskan, ketepatan arah kiblat bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana biarpun cuma satu darjah terpesong ia bersamaan kira-kira 125 kilometer tersasar dari arah Kaabah.

Dua alat digunakan untuk menentukan arah kiblat iaitu kompas Ushikata dan Teodolite tetapi ia juga berpandukan kepada keadaan tertentu seperti diletakkan di tanah rata untuk mendapatkan ukuran tepat.

“Peralatan itu selalunya digunakan untuk menentu arah kiblat untuk tujuan pembinaan masjid atau surau. Bagi orang perseorangan atau ingin menentukan arah kiblat di rumah, cara tradisional masih boleh digunakan. Setiap tahun, ada dua keadaan yang boleh digunakan umat Islam menentukan arah kiblat iaitu ketika matahari berada betul-betul di atas Kaabah. Ia berlaku pada 28 Mei jam 5.16 petang dan sekali lagi pada 17 Julai jam 5.28 petang.”

“Caranya dengan meletakkan tiang atau sesuatu yang lurus di tanah lapang pada waktu berkenaan dan perhatikan bayang objek itu. Oleh kerana di Malaysia ia berlaku pada waktu petang, arah kiblat diukur dari hujung bayang hingga ke pangkal tiang ,” katanya.

Penentuan arah kiblat boleh dicari dari pelbagai sudut dalam kehidupan serba canggih ini dan ia bergantung kepada ‘mahu atau tidak’ berusaha mencari ketepatan yang menjadi syarat sah solat, seterusnya membentuk peribadi menjadi Muslim sejati.




Anda boleh merujuk arah kiblat yang tepat dengan laman web berikut:-






17 June 2010

Budak 2 Tahun Hisap Rokok 40 Batang Sehari !

Dunia akhir zaman menyaksikan berbagai-bagai kejadian pelik dan anih. Kalau merokok dikaitkan dengan orang dewasa, bagaimana pula dengan budak yang masih menyusu botol? Ini kejadian diIndonesia. Tengok gaya budak ni merokok memang hebat, ada stail kata orang. Tapi bagaimana mula2 boleh budak ni ketagih rokok? itu yang kita nak tahu

Butang Lif Pun Kena Curi

Beberapa hari lepas, penduduk2 blok C menghadapi masalah kerana butang panggilan lif yang terdapat di lif lobi terutama di tingkat atas telah dicuri orang. Ada orang nampak seorang lelaki membuka panel butang lif dan memasukkannya kedalam beg. Patutlah ketiga2 lif tak dapat dipanggil kerana butang lif tidak berfungsi.

Kita sangat mengharap pihak maintenance dapat melakukan lebih pemantauan tentang kegiatan mencuri dan merosakkan harta awam ini. Semua pengguna lif mengeluh kerana terpaksa menapak tangga pada hari selasa yang lepas. Kita percaya mungkin ada kumpulan yang sengaja melakukan perbuatan ini kerana tiadanya pengawal keselamatan.

10 June 2010

MAJLIS RAMAH MESRA DAN MESYUARAT AGUNG SURAU ALHIJRAH

Satu majlis seperti berikut akan diadakan pada bulan hadapan. Kami menjemput semua muslimin dan muslimat untuk hadir dalam majlis ini. Jamuan akan disediakan.

Mesyuarat agung adalah untuk memilih ajk baru surau bagi tempoh 2010 hingga 2012.

Aturcara majlis
Tarikh: 3 Julai 2010 SABTU

7.00 petang Ketibaan Jemputan / VIP
7.20 malam Solat Maghrib Berjemaah
7.45 malam Jamuan / Majlis Ramah Mesra
8.36 malam Solat Isyak Berjemaah
9.00 malam Ucapan Pengerusi Surau
9.05 malam Ucapan Ketua Penolong Pengarah Kanan
JAWI - Ustaz Che Mat Che Deraman
9.10 malam Ucapan Perasmian oleh Datuk Hj Hasbullah
L Isa – Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan / Penaung Surau Al Hijrah


9.30 malam Mesyuarat Agung Bermula
11.30 malam Bersurai

06 June 2010

Pendaftaran Penduduk Miskin dan Ibu Tunggal

Pihak kami sudah mengeluarkan borang bagi penduduk yang mahu mendaftarkan nama mereka. Pendaftaran ini bertujuan supaya pihak kami mempunyai senarai lengkap penduduk miskin serta ibu tunggal yang tinggal di PPR Pantai Ria. Dengan adanya senarai ini, kami boleh membantu menyalurkan nama mereka yang layak kepada pihak-pihak berkenaan nanti untuk mendapatkan bantuan. Kami akan membuat tapisan terlebih dahulu supaya hanya mereka yang layak sahaja mendaftar.

Syarat2 untuk layak mendaftar:-
1. Penduduk PPR Pantai Ria sahaja
2. Warganegara Malaysia sahaja
3. Pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM1,500 sebulan (suami dan isteri)
4. Penduduk Islam sahaja

Sila sertakan slip gaji yang disahkan majikan serta salinan kad pengenalan.

Sila dapatkan borang dari surau dan kembalikan sebelum 15 Jun ini untuk memudahkan urusan kami. Borang itu boleh dikembalikan kesurau atau dimasukkan kedalam peti surau surau di no C -00-01.

04 June 2010

Kelas Fekah Ustazah Zawiah - Muslimah Sahaja

KELAS FEKAH AKAN DIADAKAN SEPERTI BERIKUT:-

HARI: SABTU
TARIKH: 5 JUN 2010
MASA: 2.30 PETANG

PENGAJAR: USTAZAH HJH ZAWIAH BT HASSAN
KETUA PENOLONG PENGARAH KANAN SOSIAL
JAKIM, PUTRAJAYA


TEMPAT: SURAU ALHIJRAH PPR PANTAI RIA
TINGKAT BAWAH, BLOK C

SEMUA MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI

MAKLUMAT AM: INI ADALAH KULIAH BULANAN USTAZAH DI PPR PANTAI RIA BERMULA BULAN FEBRUARI 2010. BOLEH MERUJUK KEPADA USTAZAH UNTUK MENDAPATKAN KITAB YANG DIGUNAKAN SEMASA PENGAJIAN.

Program Homestay di Perlis - Perubahan Tarikh dan Tempat

Pihak DBKL memaklumkan terdapat perubahan tempat dan tarikh seperti berikut:-

Tarikh baru: 14 Jun hingga 17 Jun (minggu ke 2 cuti sekolah)
Hari: Isnin hingga Khamis
Tempat: Pantai Remis, Perak (bukan lagi Kuala Perlis)

Kepada yang telah mendaftar, pihak DBKL dalam proses menghantar surat makluman tentang perubahan ini.

Sila hubungi pejabat DBKL jabatan Komuniti untuk maklumat lanjut.