09 August 2011

KELEBIHAN SOLAT SUNAT TARAWIKH



RAMADHAN : Solat Sunat Tarawih
Ibadah yang paling besar pahalanya selain pahala puasa Ramadhan ialah menghayati setiap malamnya dengan Solat Sunat Tarawih.

Pengertian Solat Tarawih

Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirehat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas Solat Fardhu Isya'. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat Solat Tarawih sebelum disambung semula.

Tujuan utamanya ialah untuk memberi peluang dan galakan kepada umat Islam supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam Bulan Ramadhan dengan ibadat-ibadat sunat seperti Solat Tarawih, Solat Witir, membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain.

Solat Tarawih juga disebut dengan Qiamu Ramadhan. Solat ini dikerjakan selepas umat Islam mengerjakan Solat Fardhu Isya' dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Istilah Qiamu Ramadhan juga dimaksudnya bahawa umat Islam sewajarnya menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dnegan mengerjakan solat, iktikaf dalam masjid, berzikir dan seumpamanya. Sangatlah ruginya mereka yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat solat Tarawih setahun sekali ini. Sesungguhnya Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan peuh keberkatan.

Hukum Solat Tarawih

Hukum Solat Tarawih ialah Sunat Muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurnaan bagi ibadat puasa yang wajib dan meang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan solat Sunat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar; berjaya tetap tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan Solat Sunat Tarawih.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesiapa yang mendirikan Solat (tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah akan mengampunkan segala dosanya yang telah lalu."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sumber ~
Buku : KELEBIHAN AMALAN BULAN REJAB, SYA'BAN DAN RAMADHAN
Penulis : Haji Johari Haji Alias
http://mphonline.com/books/nsearch.aspx?do=detail&pcode=9789830460734

No comments:

Post a Comment