29 February 2012

erykah badu yang biadap



inilah rupanya penyanyi soul amerika yang menimbulkan kontroversi dan dianggap biadap kerana meletakkan nama Allah pada dadanya, suatu bentuk penghinaan terhadap perkataan suci bagi umat Islam.

Kita juga kesal kerana gambar ini di siarkan oleh akhbar the star isnin lepas. Kesilapan ini tak boleh diterima dan kita menggesa kerajaan untuk menggantung permit akhbar ini dengan segera.

Tiada umat Islam yang dapat menerima penghinaan spt ini.

27 February 2012

Loji Kumbahan Pantai Dalam Berubah Wajah

4 tahun lagi iaitu 2016, dijangka Pantai Dalam akan berubah pandangan lanskapnya kerana projek untuk menukar loji ini menjadi kawasan rekreasi dibahagian atas dan loji rawatannya dibahagian bawah tanah akan siap.

Projek ini dengan kos RM893 juta akan dibina oleh konktraktor dari negara China. Kerja2 dah dimulakan sejak tahun lepas.

Selama ni bau busuk dari loji ini terutama ketika hujan memang sangat mengganggu keselesaan penduduk terutama rumah yang mengadap loji.

Antara kemudahan rekreasi yang dicadangkan ialah padang bola, futsal, trek joging, dewan komuniti dan lain2 lagi. Kita semua mengalu-alukan projek ini yang sudah ditunggu2 sejak sekian lama.



Keratan rentas projek tersebut



Video projek Pantai 2

26 February 2012

TUISYEN MATEMATIK UPSR PERCUMA

SURAU ALHIJRAH DENGAN KERJASAMA PUSAT 1 MALAYSIA LEMBAH PANTAI AKAN MENGADAKAN KELAS TUISYEN SEPERTI BERIKUT:-

A) KELAS TUISYEN UPSR - SUBJEK MATEMATIK SAHAJA
B) KELAS SETIAP HARI SABTU JAM 8.00 MALAM - 10.00 MALAM
C) TEMPAT: KELAS TADIKA 1 BLOK C PPR PANTAI RIA
D) HANYA UNTUK PELAJAR TAHUN 6
E) KELAS BERMULA 3 MAC 2012
F) TERHAD UNTUK 25 ORANG PELAJAR YANG MENDAFTAR AWAL SAHAJA
BAYARAN: PERCUMA
UNTUK PELAJAR2 PPR PANTAI RIA SAHAJA.

SILA DAPATKAN BORANG DISURAU ALHIJRAH DENGAN SEGERA KERANA TEMPAT TERHAD.

KELAS TUISYEN UNTUK PELAJAR SPM (SUBJEK MATEMATIK DAN AKAUN) AKAN BERMULA BULAN APRIL NANTI. BORANG BOLEH DIHANTAR MULAI SEKARANG. BILANGAN PELAJAR JUGA TERHAD UNTUK 25 ORANG SAHAJA.

SILA HUBUNGI AJK SURAU UNTUK MAKLUMAT LANJUT ATAU S/U SURAU, JAMIL OMAR 012 6663361.

24 February 2012

Gotong Royong Badan Komuniti Blok C

Badan Komuniti Blok C mengadakan gotong royong pada hari Ahad lepas bertujuan untuk membersihkan koridor semua tingkat dari tingkat 17 serta menyusun tempat meletak motosikal.

Lebih 50 orang penduduk termasuk kaum India hadir dalam usaha untuk menjadikan kawasan kediaman bersih dan ceria.


Mengecat line morosikal


Kerja mengecat sedang dibuat


Agaknya inilah salah satu punca nyamuk semakin banyak, tempat pembiakan nyamuk
ditingkat 14, air bertakung dibumbung tingkat 14 entah sejak bila ?


Penduduk berbincang sebelum operasi bermula

Mari Hadiri Kelas Tajwid

Setelah hampir 2 tahun belajar tajwid bersama Ustaz Khoirudin, dengan kelas yang diadakan selama 1 kali setiap minggu, setiap hari Selasa, selepas solat Maghrib, kini telahpun memasuki Surah Hud.

Kami berharap lebih ramai penduduk mengambil kesempatan untuk belajar tajwid yang diadakan secara percuma ini. Seperti kata Ustaz Khoirudin, kita tak perlu malu untuk belajar walaupun dah beranak cucu, kerana setiap usaha kita akan diberi ganjaran oleh Allah. Setiap orang wajib belajar tajwid kerana kita perlu membaca surah2 penting dalam solat. Jika bacaan tak betul, makna akan berubah dan bagaimana kita nak mendapat solat yang diterima Allah.


Jemaah yang hadir kelas Tajwid Ustaz Khoirudin


Ustaz Khoirudin sedang mengajar Tajwid - kelas dewasa

4 Kes Denggi di PPR Pantai Ria



Notis makluman dari DBKL memaklumkan sudah ada 4 kes denggi di kawasan kita. Denggi merbahaya kerana ia boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. Walaubagaimanapun, pihak perubatan masih belum ada sebarang ubat khas untuk demam denggi. Jika kita masuk hospital kerana denggi, mereka hanya tambahkan air dalam badan pesakit, bertujuan menyejukkan badan serta mengeluarkan sisa-sisa toksin dalam badan melalui perkumuhan manusia iaitu air kencing.

Marilah kita semua menjaga kebersihan kawasan persekitaran tempat tinggal, jangan dibiarkan air bertakung. Mencegah lebih baik dari mengubat.

21 February 2012

Enam bayi luar nikah lahir setiap sejam di Malaysia!


Statistik anak luar nikah


Pendaftaran Anak Luar Nikah 2007-2010


Anak luar nikah mengikut agama

Masalah anak luar nikah kini dalam keadaan yang amat membimbangkan kita umat Islam. Dimanakah nilai2 agama pada setiap remaja muslim ? Apakah didikan agama yang diajar oleh ibubapa dan guru2/ustaz2 tidak mencukupi sebagai benteng iman? Apakah kita sebagai orang Islam hanya melihat sahaja, sebab yang terlibat "bukan anak atau saudara aku".

Buat apa aku peduli, ini bukan masalah keluarga aku! Tanggapan sebilangan kita. Sedarlah umat Islam Malaysia bahawa kita sedang mengalami satu situasi yang sangat kritikal, pertambahan anak luar nikah atau "anak haram" yang mendadak jumlahnya. Anak luar nikah yang tidak ketahuan nasab dan keturunannya mungkin menyebabkan masyarakat menjadi kacau bilau. Renung sejenak apakah peranan kita sebagai sebahagian dari masyarakat.


Dari KOSMO

SUBANG JAYA - Purata enam bayi hasil perhubungan luar nikah lahir di negara ini bagi setiap sejam hasil perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh tiga tahun mulai 2008.

Perkara itu yang didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim turut menunjukkan seramai 152,182 bayi tidak sah taraf telah didaftar di JPN pada 2008 hingga 2010.

“Itu angka yang didaftarkan, mungkin ramai lagi bayi yang tidak didaftarkan kita tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh di sini semalam.

Turut hadir ialah Yang Dipertua rumah kebajikan itu, Juhaidi Yean Abdullah.

Kata Mashitah lagi, purata dalam setahun seramai 50,727 bayi tidak sah taraf dilahirkan manakala dalam sebulan seramai 4,227 dan sehari adalah 141 bayi.

“Dalam hal ini ibu, bapa perlu memainkan peranan mereka supaya anak-anak yang mengandung anak luar nikah tidak melakukan tindakan sehingga membuang bayi mereka.

“Ada tempat perlindungan seperti di Baitul Fiqh ini yang boleh membantu, anak-anak mereka kembali ke pangkal jalan dan membantu meneruskan kehidupan seterusnya,” ujarnya.

17 February 2012

Mesyuarat PIBG SK Bangsar



Sesiapa yang ada anak belajar kat sekolah ni, silalah hadir ke mesyuarat agung pada hari tersebut. Ikutlah perkembangan sekolah serta berikan cadangan2 untuk mempertingkatkan pelajaran anak2 kita. Cubalah luangkan masa anda.

15 February 2012

Majlis Bacaan Yassin Perdana Masjid Khadijah




Penghargaan Pelajar Cemerlang UPSR / PMR

Penghargaan untuk pelajar2 yang cemerlang dalam peperiksaan yang lepas masih diadakan hingga kini. Terbaru ialah dari Pusat Khidmat Masyarakat lembah Pantai (Pej UMNO bahagian) yang akan mengadakan majlis tersebut pada tarikh:

Tarikh: 18 Februari 2012
Hari: Sabtu
Masa: Mulai jam 2.30 petang
Tempat : Dewan Komuniti Pantai Hill Park

Syarat kelayakkan
1. Ibubapa adalah pengundi Lembah Pantai
2. UPSR 5A dan PMR 7A keatas

Sila isi borang yang boleh didapati di Pusat Khidmat Masyarakat lembah Pantai, Bangsar Utama (sebelah flet Sri pahang).

11 February 2012

Mufti Perak Tegur Najib

Kerap kita mendengar pandangan dari para ulama bahawa tidak sewajarnya umat Islam menghadiri perayaan keagamaan kaum lain. Ia boleh menjejaskan akidah umat Islam secara tanpa kita sedari. Mengucapkan Selamat Hari Raya Cina atau Selamat Hari Deepavali pun tak boleh, apatahlagi terlibat dalam upacara keagamaan selain dari Islam.

Berikut pendapat Mufti Perak tentang hal ini. Kalau tak mahu dengar cakap Mufti, nak dengar cakap siapa lagi?


Petikan dari Malaysiaan Insider
KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan. - TMI

Kuliah Khas Hari Valentine

Ustaz Helmey Yahya akan mengadakan kuliah khas pada tarikh berikut:-

Hari: Ahad
Masa: Selepas solat maghrib
Tarikh: 11 Februari 2012
Tempat: Surau Al Hijrah

Marilah kita beramairamai memenuhkan surau. Para remaja terutamanya dipelawa untuk bersama-sama mendengar tentang hari Valentine dan kenapa ia di
haramkan Islam.

Hari Valentine tukar Hari Suami Isteri?


Saya sokong sangat jika hari valentine ditukar kepada Hari Suami Isteri atau Hari Kekasih Yang Dah Berkahwin. Agak janggal bunyinya, tapi lama-kelamaan akan dapat diterima oleh umat Islam hendaknya.

Valentine adalah pengaruh barat yang hendak merosakkan anak-anak muda kita dengan menganjurkan berbagai acara sempena memperingati kekasih. Jika masih belum sah suami isteri, maka selagi itulah Islam mengharamkan sebarang percampuran lelaki dan perempuan apatah lagi menyambut hari kekasih dengan perkara maksiat.





KOTA BAHARU – Kerajaan PAS Kelantan bercadang menggantikan hari mengingati kekasih, Hari Valentine yang disambut pada setiap 14 Februari kepada sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata adalah lebih elok jika Hari Valentine, yang dipuja dan diilhamkan pengikut agama Kristian diganti dengan sambutan Hari Suami Isteri untuk melahirkan keluarga bahagia mengikut acuan Islam.

“Pada masa depan, kita bersetuju untuk menukar Hari Valentine kepada sambutan Hari Suami Isteri setiap tahun,” katanya selepas merasmikan Hari Suami Isteri dan Pelancaran Buku Panduan Keluarga Mawaddah negeri Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Wan Omar.

Beliau berkata, tujuan kerajaan menjadikan sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan bagi menggalakkan umat Islam menghayati kehidupan keluarga bahagia mengikut acuan Islam sebenar.

SEJARAH HARI VALENTINE


Mengikut beberapa sumber, Valentine adalah nama bagi seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama tersebut di Rom ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Pada masa pemerintahannya, Claudius II telah memenjarakan orang-orang Kristian kerana mengamalkan agama yang bertentangan dengan agamanya. Oleh kerana Valentine seorang penyebar agama Kristian, beliau juga telah ditangkap, diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Orang-orang Kristian menganggap bahawa Valentine merupakan seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Dia disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Valentine bagi penganut agama Kristian adalah lambang kasih sayang sejati diantara seorang hamba dengan Tuhannya dan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertulis "From your Valentine".

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa Valentine adalah sempena hari kejatuhan kerajaan Islam Sepanyol. Paderi St. Valentino telah mengumumkan hari tersebut sebagai hari kasih sayang kerana padanya Islam adalah ZALIM! Tumbangnya Kerajaan Islam Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine.

Semoga anda semua mengambil iktibar!!! Mengapa kita ingin menyambut Hari Valentine ini padahal ia adalah hari jatuhnya kerajaan Islam kita di Sepanyol...

09 February 2012

Kem Motivasi Remaja Muslim

tarikh: 17 dan 18 Mac 2012 (cuti sekolah)
Hari: Sabtu dan Ahad
tempoh: 2 hari 1 malam
Tempat: Sri Pengantin Resort, Janda baik, Pahang
Anjuran: Perkim Kebangsaan dengan kerjasama surau alhijrah

Aturcara: Bertolak dengan bas jam 7 pagi - Sabtu, 17 Mac 2012
Balik: 18 Februari 2012 - selepas 2.00 petang

Umur Peserta: 15 hingga 17 tahun sahaja (tgkt 3,4 dan 5)
tarikh tutup: 15 Februari 2012

Tempat adalah terhad.

Sila hubungi ajk surau utk maklumat lanjut dan borang.

Surau Baru 90% Siap



Tinjauan beberapa hari lepas, tahap pembinaan hampir 90 peratus. Kontraktor sedang memasang sistem pendawaian dan kipas. Dijangka siap pada bulan depan.






Kuliah Ustazah Zawiah Hassan Sabtu Ini

Semua kaum wanita atau muslimat dijemput hadir ke kuliah bulanan Ustazah Zawiah Hasan pada hari berikut:-

Kelas: Fekah
Hari: Sabtu
Tarikh: 10 Februari 2012
Masa: 11.15 pagi
Tempat: Surau Al Hijrah PPR Pantai Ria

Menurut seorang Ustaz dalam kuliahnya, ramai orang menganggap fekah ini perkara mudah sehingga tidak mahu belajar secara mendalam, contohnya dalam bab bersuci dari hadas kecil dan besar. Tetapi dalam bab bersuci ini, jika tidak dilakukan dengan betul mengikut syariat, maka solat kita akan menjadi tidak sah !

Bila kita belajar dalam kuliah ini contohnya, mungkin kita akan tahu yang selama ini cara kita bersuci adalah salah, kita main hentam semberono atau ikut orang, kalau dah 10 , 20 atau 30 tahun kita membuat benda yang salah, apakah dengan status solat kita selama ini?

Dalam kesimpulannya, Ustaz ini menasihatkan umat Islam memperbetulkan dahulu pengetahuan dan amalan fekahnya kerana ia membawa kesan kepada amalan2 wajib yang lain.

Wallahualam.

Sambutan Maulidul Rasul PPR Pantai Ria













05 February 2012

Sambutan Hari Perkim



SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW & HARI PERKIM

TARIKH: 7 FEBRUARI 2011 [14 RABIUL AWAL 1433 H] (SELASA)

MASA: 8.00 PAGI - 1.00 TENGAHARI

ANJURAN: PERKIM KEBANGSAAN

TEMPAT: SURAU PERKIM, BANGUNAN PERKIM, JALAN IPOH, 51200 KUALA LUMPUR

FORUM PERDANA: "Pengorbanan Saudara Muslim Di Zaman Rasulullah SAW"
Moderator: Ustaz Khairul Azhar Ghazali (Imam Muda Astro Oasis)
Ahli Panel: Ustaz Mohd. Farhan Al-Hafiz (Penceramah Bebas)
Ahli Panel: Ustaz Haslin Bahrin (Penceramah Bebas)

PERSEMBAHAN: Kumpulan Rabbani

MAJLIS BACAAN YASIN SEMPENA SAMBUTAN HARI PERKIM

Majlis Cukur Jambul di Surau Al Hijrah

Lebih 100 orang penduduk hadir dalam majlis ini yang diadakan sempena menyambut maulidul rasul. Ia dibuat pada 4 Februari 2012, Sabtu, selepas solat maghrib. Juga dibuat berzanji, marhaban dan memotong jambul 4 orang bayi yang mengambil bahagian. Terimakasih kepada semua yang hadir.



01 February 2012

MALAM BERZANJI / MARHABAN /CUKUR JAMBUL


Gambar hiasan

Sempena dengan maulidul rasul, surau akan mengadakan majlis tersebut pada hari Sabtu, 4 Februari 2012 mulai jam 7.50 malam (selepas maghrib)

Sesiapa yang mempunyai anak kecil (bayi baru lahir) diharap dapat membawanya ke surau untuk sama-sama diraikan. Kita hidupkan semula tradisi kita.

Jamuan ringan disediakan. Semua muslimin dan muslimat serta keluarga dijemput hadir.

SAMBUTAN MAULIDUL RASUL


MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUL RASUL

AHAD. 5 FEBRUARI 2012 MULAI JAM 8.00 PAGI

ATURCARA

8.00 PAGI SEMUA BERKUMPUL DI SURAU
8.30 PAGI PERARAKKAN MENGELILINGI PPR PANTAI RIA
9.30 PAGI CERAMAH AGAMA - PENCERAMAH JEMPUTAN
11.00 PAGI BERSURAI / JAMUAN RINGAN

SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT SERTA KELUARGA DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI. TUNJUKKAN KECINTAAN KITA KEPADA JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD SAW SEMPENA KEPUTERAAN BAGINDA PADA 12 RABIULAWAL TAHUN GAJAH.

PAKAIAN: SEMUA DIMINTA MEMAKAI BAJU MELAYU BERSAMPING /JUBAH BAGI LELAKI SERTA BAJU KURUNG BAGI PEREMPUAN.