06 April 2012

Maklumat Terkini Denggi Pantai Ria ! Masih Serius!

Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 12, Blok E7, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan,
62590 Putrajaya
Tel : 603-8883 2545
Faks : 603-8889 5542
E-mail : hasar@moh.gov.my

DARI
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
DIRECTOR GENERAL OF HEALTH MALAYSIA

SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA

Bagi Minggu 13/2012 (25 hingga 31 Mac 2012) Pada minggu ke -13 tahun 2012 iaitu bagi tempoh 25 hingga 31 Mac, sejumlah 466 kes demam Denggi dilaporkan berbanding 477 kes pada minggu sebelumnya (Lampiran A). Sebanyak empat (4) negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Johor meningkat sebanyak 15 kes (63%), Melaka 9 kes (100%), P.Pinang 3 kes (23%) dan Sabah meningkat sebanyak 1 kes (0.2%). Pada tahun 2012, bermula dari 1 Januari hingga 2 April, sebanyak 6,607 kes dilaporkan, meningkat sebanyak 1,256 kes atau 24% berbanding 5,351 kes bagi tempoh yang sama tahun 2011. Pada tempoh yang sama juga, sebanyak 17 kematian akibat demam Denggi dilaporkan berbanding hanya 9 kematian pada tahun 2011.

Sejumlah 97 lokaliti daripada 18 daerah mengalami wabak pada minggu lepas berbanding 91 lokaliti pada minggu sebelumnya di mana 66% lokaliti wabak adalah di negeri Selangor manakala 23% lokaliti wabak adalah di WP Kuala Lumpur. Antara faktor yang menyebabkan lokaliti di sesuatu kawasan menjadi wabak adalah kerana masalah kebersihan yang menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes membiak.

Untuk makluman, semburan kabus yang dijalankan hanya dapat membunuh nyamuk Aedes dewasa manakala jentik-jentik Aedes hanya dapat dimusnahkan dengan cara bergotong royong iaitu menghapuskan tempat pembiakan atau dengan memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) bagi takungan air yang berjumlah besar.

Terdapat satu (1) lokaliti hot spots pada minggu ke-13 iaitu di PPR Pantai Ria, zon Klang Lama, WP Kuala Lumpur dengan jumlah kes yang dilaporkan adalah 16 kes dan lima (5) daripadanya merupakan pelajar sekolah.

Sebanyak enam (6) aktiviti gotong royong telah dijalankan di lokaliti tersebut sepanjang tempoh wabak yang telah memasuki tempoh dua bulan, namun penyertaan masyarakat setempat dalam setiap siri gotong royong yang dianjurkan amatlah mendukacitakan apabila hanya 96 orang atau 8% daripada keseluruhan anggaran sasaran 1,200 orang penduduk yang sepatutnya hadir bagi aktiviti tersebut.

Daripada jumlah keseluruhan kes Denggi bermula Januari sehingga 31 Mac 2012, sebanyak 56% daripada kes yang dilaporkan merupakan golongan pekerja yang berusia di antara 20 hingga 49 tahun manakala 24% merupakan golongan pelajar berusia 8 hingga 17 tahun. Golongan ini keluar untuk bekerja atau belajar pada awal pagi (5 hingga 7 pagi) dan pulang lewat petang (5 hingga 7 petang) iaitu waktu nyamuk Aedes sedang aktif menggigit.

Oleh itu, golongan ini dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan seperti memakai baju berlengan panjang dan memakai repelen bagi menghindari digigit nyamuk Aedes. Kementerian Kesihatan juga menyeru kepada semua masyarakat agar meluangkan masa bersama-sama dengan jiran tetangga untuk menjalankan aktiviti gotong royong bagi membersihkan kawasan persekitaran rumah masing-masing.

Jawatankuasa Penduduk juga perlu memastikan tempat-tempat tumpuan awam seperti taman permainan, surau, masjid serta balai raya bebas daripada pembiakan Aedes. Tindakan yang mudah ini dapat mencegah diri anda, ahli keluarga serta jiran tetangga dari risiko dijangkiti demam Denggi. Jiran sepakat membawa berkat, jauhi Denggi.

DATO’ SRI DR HASAN ABDUL RAHMAN Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 2 April 2012

No comments:

Post a Comment