24 April 2014

Sayangilah Anak Anda

Banyak hadis-hadis nabi yang membicarakan tentang dunia anak-anak yang sarat dengan curahan cinta dan kasih sayang. Kedua perasaan suci ini sentiasa mewarnai hati Rasulullah s.a.w dan tidak henti-henti beliau berpesan kepada umatnya agar mereka bersikap lembut dan penuh kasih sayang terhadap anak-anak.

Kita sering mendengar ibu bapa mengeluh tentang anak yang nakal, degil dan tidak mendengar kata. Sehingga terkeluar kata-kata seperti "memang dasar anak degil'' daripada mulut ibu bapa sendiri. Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.

Persoalannya sekarang kepada siapa kita harus belajar mendidik anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik. Rasulullah s.a.w adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya mendidik anak merupakan manifestasi daripada pesan-pesan luhur al-Quran.

Kegelisahan Rasulullah s.a.w dalam mendidik anak dapat dilihat bagaimana kemasygulan Rasulullah s.a.w ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak mereka. Walhal perbuatan itu adalah sangat penting untuk perkembangan mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?

Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Siapa yang tidak mengasihi (orang lain) maka dia tidak akan dikasihi. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kehadiran anak-anak dalam sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:
..... Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati ....

Luqman Hakim, seorang yang saleh, sangat menyedari tanggungjawab itu. Al-Quran telah menjadikannya sebagai teladan tentang orang tua yang baik dan bijak. Tak kurang, al-Quran merakam nasihatnya kepada anaknya. Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.

Begitulah seharusnya orang tua senantiasa mengarahkan anaknya, terus-menerus. Ia mesti mengamati segala perkembangan anaknya dan mengingatkannya di mana perlu. Sebuah komunikasi yang baik seharusnya berlangsung antara orang tua dan anaknya Ñ dan itu selayaknya dilangsungkan dengan rasa kasih sayang. Kata-kata Luqman yang dimulai dengan panggilan "wahai anakku'' menyiratkan kemesraan hubungan dan kedekatan hati. Solat sebagai bekal dan nilai-nilai amar makruf nahi mungkar semakin relevan kini buat anak-anak kerana sisi kemanusiaan semakin terhakis dan mereka bakal menghadapi situasi berbeza di dunia yang kian cepat berubah.

Begitu besarnya amanat dan nilai yang terdapat dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang orang tuanya daripada seksaan api neraka. Kisah Aisyah isteri Rasulullah s.a.w yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya. Ummul Mukminin ini mengisahkan Aku memberinya dua biji kurma. Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua anaknya, dan selebihnya ia berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga kurma itu pun jatuh daripada tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak jadi makan satu biji kurma pun.

Saudara yang dimuliakan, lantaran peristiwa yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan kepada Rasulullah s.a.w baginda kemudian bersabda yang bermaksud:
Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan mereka secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka. Ñ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


 - MOHD SHAUKI ABD. MAJID, Penolong Pengarah Yadim.

No comments:

Post a Comment