21 April 2010

Mohon bas, bina jejantas - Sinar Harian

artikel Sinar harian 21 April 2010

KAMPUNG PANTAI DALAM – Penduduk flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria dekat sini memohon pihak berwajib menyediakan kemudahan pengangkutan bas awam selain membina jejantas merentasi Lebuhraya NPE bagi memudahkan orang ramai ke pusat bandar.

Penduduk, Mazlan Abdullah, 57, berkata, penduduk meminta supaya jejantas dibina merentasi lebuh raya bagi memudahkan mereka menunaikan solat Jumaat di Masjid berdekatan selain ke pusat bandar.

“Mereka yang mempunyai kenderaan sendiri tidak mempunyai masalah, tetapi bagi penduduk yang tiada kenderaan, mereka bergantung sepenuhnya kepada kenderaan awam.

“Jadi, saya rasa jika pihak berwajib menyediakan bas untuk masuk ke kawasan flat ini, ia akan memudahkan penduduk khususnya warga tua dan orang kurang upaya (OKU) yang sering berulang ke hospital,” katanya.

Beliau mendakwa, stesen komuter yang terletak bertentangan rumah penduduk menjadi laluan utama untuk keluar memandangkan terdapat perhentian bas di sebelahnya.

“Disebabkan stesen ini laluan utama penduduk, ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya warga asing menaiki komuter tanpa tiket.

“Pekerja stesen pun susah hendak halang kerana jika ditanya, mereka (warga asing) ini beritahu hendak pulang ke rumah. Jadi mereka terlepas begitu sahaja,” katanya.

Menurutnya, jika jejantas dibina, ia sekali gus menyelesaikan masalah parkir yang berlaku setiap kali solat Jumaat.

“Penduduk tidak mahu berjalan jauh jadi mereka ke masjid menggunakan kenderaan dan menyebabkan kesesakan setiap kali waktu solat,” katanya.

Seorang penduduk, Jarinah Bharakathali menyokong supaya pihak berwajib menyediakan kemudahan pengangkutan awam.

“Senang sikit kalau bas masuk ke kawasan flat ini sebab penat juga terpaksa berjalan jauh menaiki jejantas ke seberang semata-mata untuk menunggu bas,” katanya.

No comments:

Post a Comment