04 May 2013

Mengundi Itu Wajib! Tunaikan Kewajipan Anda

 

Fiqh Pilihanraya Dan Kewajipan Mengundi
Oleh Dr Zulkifli Hasan - Abim

Secara umumnya, masih ramai yang mengambil mudah tentang kewajipan mengundi. Mungkin keadaan di Malaysia yang majoritinya Muslim antara faktor perkara ini diambil mudah. Berbanding di Malaysia, kuasa undi Muslim di Negara majoriti orang bukan Islam adalah sangat signifikan seperti di Eropah dan Amerika. Hinggakan ramai ulama termasuk Rashid Ghanoushi yang mewajibkan umat Islam untuk mengundi walaupun calon yang dipilih itu bukan Islam. Dalam situasi ini, umat Islam adalah diperlukan untuk mengundi calon yang kurang mafsadahnya sama ada kepada Muslim mahupun kepada Islam itu sendiri.

Bagi membicarakan aspek ini, mengundi harus dilihat sebagai sesuatu yang lebih daripada tanggungjawab sebagai warganegara. Kewajipan mengundi wakil rakyat mahupun ahli parlimen perlu dianggap sebagai ibadah dan ianya sangat dekat dengan konsep kesaksian.


Dalam aspek ini, Yusuf al Qaradawi menekankan bahawa mengundi itu merupakan salah satu bentuk penyaksian yang tidak boleh ditolak apabila sampai masanya. Malahan tidak mengundi boleh dianggap sebagai menyembunyikan penyaksian yang bertentangan dengan tuntutan Islam.

Amat menarik untuk meneliti pandangan Siddiq Fadhil dalam analisanya mengenai konsep kesaksian dalam konteks pilihanraya ini. Beliau berpandangan bahawa kesaksian melalui peti undi ini merujuk kepada “pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi intelektual)”. Dalam aspek ini, beliau juga menekankan kelayakan bukan sahaja merujuk kepada calon yang ingin dipilih tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian iaitu saksi yang adil (keadilan).

Secara ringkasnya, dapatlah difahami bahawa fiqh intikhabat ini menuntut umat Islam untuk menyatakan penyaksian mereka kepada calon-calon pilihanraya yang layak melalui tanggungjawab untuk membuang undi. Islam melihat mengundi bukan hanya tanggungjawab sebagai warganegara tetapi ia merupakan ibadah dan kewajipan yang mesti dilaksanakan bersesuaian dengan konsep kesaksian dalam Islam.


Kegagalan untuk menyatakan penyaksian ini melalui undi boleh dianggap sebagai salah satu bentuk penyembunyian kesaksian yang dilarang dalam Islam.

Bayangkan sekiranya umat Islam cuai untuk melaksanakan kewajipan ini dan akhirnya calon yang dipilih membawa mafsadah kepada agama dan Muslim itu sendiri, pada waktu itulah kita akan memahami betapa pentingnya kesaksian ini dizahirkan melalui undi.


No comments:

Post a Comment