14 December 2013

Hukum Melabur dalam ASB dan ASN - Halal ? Harus ? Tidak Halal ? Haram? Tidak Haram ? Anda Pilih !

Komen
 
Nampaknya terdapat perbezaan  diantara fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri2 berkaitan hukum melabur dalam ASB, ASN dan seumpamanya menyebabkan masyarakat menjadi keliru.
 
Diharap hanya satu fatwa yang sama sahaja dapat dikeluarkan oleh semua negeri2 di malaysia supaya umat Islam tidak terus merasa was-was dengan pelaburan mereka dalam skim2 berkenaan.
 
Berikut fatwa2 yang berkenaan untuk makluman anda.
 
Majlis Fatwa Kebangsaan - Harus
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.
 
 
Jawatankuasa  Fatwa Selangor - Tidak Halal
 
Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-
  1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:

    ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلالMaksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”
  2. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
  3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen
 
Jawatankuasa Fatwa Terengganu - tidak haram
 
Setelah meneliti draf pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengenai Amanah Sham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra, mesyuarat telah membuat beberapa pembetulan adalah sebagaimana dalam lampiran berkembar.
 
Berdasarkan kepada nas-nas daripada fuqaha Islam sebagaimana yang dipetik dan disenaraikan itu dan juga keadaan yang diamalkan oleh Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra yang didapati tiada tempat yang nyata haramnya kecuali di dalam institusi kewangan yang dianggapkan ada syubahah di dalam Islam maka Jawatnkuasa Fatwa berpendapat melabur di dalam Skim Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra adalah tidak haram.
 
 
Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan - harus
 
“Bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus”.
 
 
Jawatankuasa Fatwa Kelantan - harus
 
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 27 Disember 2009 telah membincangkan hukum pelaburan dalam skim ASB, ASN dan pelaburan-pelaburan lain seumpamanya. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan bahawa hukum pelaburan dalam skim ASB, ASN dan pelaburan-pelaburan lain seumpamanya adalah diharuskan.
 
 
Jawatankuasa Fatwa Pahang  - haram
 
Setelah dibincangkan Mesyuarat bersetuju memutuskan hukum pelaburan di dalam Amanah Saham Nasional dan seumpamanya adalah haram sehingga pelaburan Amanah Saham Nasional didalam aktiviti perbankkan menepati kehendak dan syarat pelaburan menurut syariah seperti yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Syariah Suruhanjaya Sekuriti.
 
Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang   - halal

Wang dividen dan bonus yang diperolehi dari pelaburan didalam ASN adalah halal dan harus digunakan menunaikan fardhu haji. Oleh yang demikian segala hasil yang diperolehi dari pelaburan itu adalah halal dan harus digunakan.
 
 
Petikan dari laman web Majlis Fatwa Kebangsaan
link
  

No comments:

Post a Comment