27 December 2013

Pencen Dengan Simpanan Minima KWSP RM196,800

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahlinya berhubung kuantum baharu Simpanan Asas yang menetapkan RM196,800 sebagai amaun minimum yang perlu ada dalam akaun KWSP mereka menjelang umur 55 tahun berkuat kuasa bulan depan.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, kadar baharu itu ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun daripada umur 55 hingga 75 tahun.

Katanya, kadar itu akan disemak setiap tiga tahun berdasarkan keperluan persaraan, kadar inflasi dan kos hidup.

"Dengan mengambil kira faktor kos hidup semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang serta kadar inflasi, KWSP telah membuat keputusan meningkatkan Simpanan Asas untuk memastikan 13 juta ahlinya mempunyai tahap simpanan mencukupi bagi menikmati persaraan yang mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, Simpanan Asas semasa iaitu RM120,000 pada umur 55 (RM500 sebulan bagi tempoh 20 tahun) mungkin tidak mencukupi bagi menampung persaraan ahli kerana berada di bawah garis kemiskinan.

"Statistik KWSP menunjukkan 71 peratus ahli bersara pada umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka.
"Kadar yang disemak semula ini memerlukan ahli mempunyai simpanan lebih tinggi dalam akaun KWSP bagi membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP dalam unit amanah," katanya.

Beliau berkata, ini untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun apabila mereka bersara bagi membiayai keperluan asas persaraan sebelum boleh memilih untuk melabur dalam pelaburan lain.

"Antara inisiatif diperkenal KWSP untuk mempertingkat simpanan persaraan ahli ialah kadar caruman majikan sebanyak 13 peratus untuk pekerja yang bergaji RM5,000 dan ke bawah.
"Selain itu, kadar caruman penuh KWSP untuk pekerja sehingga umur 60 tahun dan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun yang membenarkan ahli untuk memanjangkan simpanan KWSP mereka bagi tempoh yang lama," katanya.

Bagi membantu ahli merancang persaraan mereka, Nik Affendi berkata, KWSP akan memperkenal perkhidmatan penasihat kewangan kepada ahli mulai tahun depan dengan projek perintis di Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.

Utusan Online

No comments:

Post a Comment