Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan semua ajaran mahupun fahaman Syiah di Malaysia adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hukum syarak.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata sehubungan itu beliau menafikan sekeras-kerasnya sekiranya ada dakwaan mengatakan terdapat fahaman Syiah yang mempunyai persamaan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Beliau berkata berdasarkan kajian Jakim, dakyah Syiah sebagai sebuah Mazhab berasaskan aliran Syiah Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah atau Imam Dua Belas mula aktif di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada 1979.

"Jadi ajaran Syiah yang diamalkan oleh pengikut di Malaysia sehingga kini adalah aliran Imam Dua Belas ini yang bercanggah dengan ajaran Islam," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Othman berkata antara penyelewengan aliran Syiah Imam Dua Belas itu adalah:

  • Meyakini imam adalah maksum iaitu terpelihara daripada sebarang dosa.
  • Mengkafirkan para sahabat Rasulullah S.A.W.
  • Tidak ada Solat Jumaat.
  • Mengharuskan jamak solat fardu dalam semua keadaan tanpa sebarang sebab.
  • Menghalalkan nikah muta'ah.
  • Menolak Ijmak Ulama.
  • Penyanjungan yang keterlaluan kepada Saidina Ali sehingga disama tarafkan dengan Rasulullah SAW.
  • Menambah nama Saidina Ali dalam kalimah syahadah selepas nama Nabi Muhammad SAW.