21 October 2010

Pembelian Rumah PPR dipermudahkan - TERKINI

KUALA LUMPUR, (Bernama) 21 Oktober 2010 - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mempermudahkan proses pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sedia ada untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah mampu memiliknya.

Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) bersetuju memberi pengecualian beberapa bayaran semasa pembelian rumah itu.

Beliau menjangkakan seramai 44,146 golongan itu akan mampu memiliki rumah seperti itu menerusi usaha berkenaan yang dimulakan pada bulan depan.

"Pengecualian ini termasuk kos pendaftaran dan kos kebenaran menggadai melibatkan sejumlah RM17.23 juta yang bakal memberi manfaat kepada 44,146 golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.

"Ini bermakna seorang pembeli rumah PPR atau PA yang merupakan golongan berpendapatan rendah ini akan menikmati penjimatan kos sebanyak RM390 bagi setiap unit rumah
," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pengurusan Tanah anjuran Kelab Sukan Dan Kebajikan(KESTAWI) Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Ahmad Phesal Talib, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Datuk Azemi Kasim dan Pengarah Tanah dan Galian Kuala Lumpur Hasim Ismail.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata kerajaan sentiasa menambah baik sistem penyampaiannya kepada rakyat termasuk berkaitan sistem dan tatacara pengurusan di Pejabat Tanah.

Antara penambahbaikan itu termasuklah permohonan pembangunan tanah iaitu tukar syarat dan proses milik semula tanah telah dipercepatkan dalam tempoh 25 hingga 50 hari berbanding dua bulan sebelum ini melalui kaedah Pusat Sehenti.

Mengenai program hari ini, beliau berkata seminar itu akan menjadi medium dalam menggalakkan perkongsian efektif di antara sektor awam dan swasta.

Kedua-dua sektor awam dan swasta saling memerlukan dan mempunyai tanggungjawab besar dalam membina serta memacu pembangunan negara.

No comments:

Post a Comment