18 October 2010

KARNIVAL BANK PPR KE 2


SEBANYAK 44,146 unit PPR dan PA ditawarkan untuk dibeli oleh penyewa pada Karnival Bank Ke-2.


KUALA LUMPUR 15 Okt. - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan mengadakan Karnival Bank Ke-2 Penjualan Rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) bermula Sabtu ini.

Karnival yang diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan bermula pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang pada setiap hari Sabtu atau Ahad sehingga 4 Disember.

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, karnival itu akan diadakan secara bergilir-gilir di antara sembilan zon yang telah dikenal pasti.

Karnival pertama yang akan berlangsung esok akan diadakan di Dataran PPR Raya Permai melibatkan PPR Sungai Raya (Desa Petaling), Raya Permai, Kampung Seri Malaysia dan Salak Selatan.

Pada 24 Oktober pula, ia akan diadakan di PPR Seri Pantai melibatkan PPR Seri Anggerik, Pantai Ria, Seri Cempaka, Kampung Limau dan Seri Pantai.

Karnival seterusnya akan diadakan pada 30 Oktober di Dataran PPR Muhibbah melibatkan PPR Kampung Muhibbah manakala pada 6 November, karnival akan berlangsung di PPR Beringin melibatkan PPR itu dan Intan Baiduri.

Pada 13 November, karnival akan dilangsungkan di Dataran PPR Hiliran Ampang, 14 November (kawasan lapang PPR Kerinchi), 20 November (Dataran PPR Batu Muda), 27 November (Dataran PPR Air Panas) dan 4 Disember di Dataran Seri Kota.

Ahmad Phesal berkata, penjualan rumah itu melibatkan 44,146 buah unit rumah iaitu 29,562 unit PPR dan 14,584 unit PA DBKL.

"Sehingga 30 September lalu, sebanyak 35,095 borang pembelian telah diedarkan dan sebanyak 23,431 penyewa telah menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran membeli rumah-rumah tersebut.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 18,828 bakal pembeli yang layak telah menerima surat tawaran pembelian rumah daripada pihak DBKL," katanya dalam kenyataan di sini.

Karnival kali ini, jelasnya, akan melibatkan sebanyak empat buah bank iaitu Bank Simpanan Nasional, Bank Islam Malaysia Berhad, Alliance Financial Group dan Hong Leong Islamic Bank

Beliau menambah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan turut menyertai karnival itu.

"Melalui karnival kali ini, pihak kementerian berhasrat untuk mencapai sasaran kira-kira 71 peratus daripada bakal pembeli rumah PPR dan PA selesai urusan pinjaman bank sehingga hujung tahun ini.

"Bagi penghuni yang belum berkemampuan, mereka dijamin boleh terus menyewa sehinggalah mereka mampu untuk membeli rumah yang didiami," ujarnya.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Bahagian Jualan, Jabatan Pengurusan Perumahan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Tingkat 6, Menara DBKL III, Bandar Wawasan di sini.

Pertanyaan juga boleh dibuat dengan menelefon ke talian 03-2617 6000/ 6116/6106/6108/6109/6112/6113 atau faks ke 03-2698 3722 atau melayari www.dbkl.gov.my atau www.kwp.gov.my.

1 comment:

  1. Informаtіve posting! Gοod to find someоne that κnows ωhat thеy
    are on abоut аnd can рroduce commοn sеnѕe blogging fοr uѕ thе гeadеrs.
    Certainly lookіng forwаrd tο your next post.
    My web site: shoes with lifts

    ReplyDelete