20 November 2010

Masih boleh korban hari ini - Sabtu 20/11/10 (JAKIM)

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Umat Islam di negara ini boleh menunaikan ibadah korban sehingga esok (Sabtu) bersamaan 13 Zulhijah iaitu sampai terbenam matahari.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar) berkata, oleh kerana Hari Raya Aidiladha jatuh pada Rabu lalu, maka umat Islam disunatkan menunaikan ibadah korban sehingga esok.

Menurut Wan Mohamad, tempoh itu bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Kitab Rad al-Muhtar 'ala al-Dur al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar yang ditulis oleh Ibn 'Abidin.

''Mengenai kekeliruan tempoh masa menjalankan ibadah korban yang timbul baru-baru ini, sukacita Jakim memaklumkan bahawa ia boleh dilaksanakan bermula selepas solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan pada Hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah.

"Oleh itu, tidak menjadi kesalahan menjalankan ibadah korban sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijah bersamaan 20 November,'' katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Wan Mohamad, berdasarkan rekod cerapan anak bulan Zulhijah 1431 Hijrah di 30 tempat cerapan rasmi di Malaysia oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di Malaysia pada 6 November lalu, ahli falak mendapati anak bulan tidak kelihatan di semua tempat itu.

Justeru jelasnya, keputusan sebulat suara menetapkan Hari Raya Aidiladha jatuh pada 17 November lalu setelah ahli falak mendapat kedudukan anak bulan tidak memenuhi kriteria ketetapan Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan).

Ini bermakna katanya, Hari Tasyrik bagi seluruh umat Islam di Malaysia pada tahun ini adalah pada Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Tegasnya, hal itu sekali gus menafikan pandangan dan kekeliruan sesetengah pihak yang menyatakan ibadah korban hanya boleh dilakukan sehingga hari ini sebagaimana menurut Arab Saudi.

Menurutnya, asas penentuan Hari Raya Aidiladha di Malaysia adalah selaras dengan Singapura serta Indonesia dan kebetulan pada tahun ini Brunei bersama-sama merayakannya pada 17 November.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengakses dan merujuk Info Kriteria Imkanur-Rukyah di Malaysia dan data berkaitan melalui laman web Jakim di www.islam. gov.my.

Petikan Utusan Malaysia 20 November 2010

2 comments:

  1. mintak tlg..knpe lampu kaki lima blok A semua nya tidak menyala!
    sangat bahaya jika gelap sangat terutama kepada penduduk yang tua dan ibu2 yang mendokong anak utk kesana kesini..............

    p/s : dah bgtau di pej dbkl ppr di blok B, tp smpi sekarang pg tadik masih gelap =(

    ReplyDelete
  2. saya nasihatkan anda, selain komplen kat pejabat dbkl blok B, sila hubungi terus Jabatan Pengurusan perumahan DBKL untuk tindakkan yang lebih cepat 03 26176157

    ReplyDelete