30 November 2013

Ku Nan Mohon Maaf Pada Warga KL

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) hari ini memohon maaf kepada pemilik hartanah di Kuala Lumpur berhubung kekeliruan mengenai langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan kadar cukai pintu di ibu kota.

Tengku Adnan - Menteri Wilayah Persekutuan

Kekeliruan timbul berhubung isu kenaikan cukai pintu apabila Tengku Adnan dan timbalannya Datuk J. Loga Bala Mohan mengeluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain dalam isu penagguhan cukai pintu.

“Saya mohon maaf, kekeliruan ini tidak akan berlaku jika pegawai-pegawai saya menghantar surat untuk memberitahu pemilik hartanah tentang apa yang ingin kami lakukan berbanding menghantar notis.

Saya yang bersalah, dan jika pegawai-pegawai itu merujuk terlebih dahulu sebelum dihantar saya pasti menghalangnya,” kata Tengku Adnan.
Katanya pembangkang mengambil kesempatan terhadap isu itu untuk membangkitkan kemarahan rakyat.

“Apa yang kami lakukan adalah untuk kebaikan penduduk Kuala Lumpur,” katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

“Contohnya, sebelum ini kadar sewa RM1,000 kali 12 sama dengan RM12,000 setahun, selepas semakan, nilainya akan meningkat kepada RM3,000 yang menjadi RM36,000 setahun.

“Akan tetapi, apa yang pemilik hartanah perlu faham, ia bukannya mengenai amaun yang perlu dibayar akan tetapi amaun yang berdasarkan kadar cukai yang akan diumumkan,” katanya.
Semalam Tengku Adnan membetulkan kenyataan timbalannya, Loga Bala bahawa tarikh akhir bantahan kenaikan cukai pintu tetap pada 17 Disember ini dan kenaikan akan bermula Januari tahun depan.

Beliau berkata, meskipun kenaikan bermula tahun hadapan namun pemilik hartanah dibenarkan menangguhkan pembayaran sehingga satu keputusan muktamad dicapai di antara DBKL dan warga kota.

Tengku Adnan semalam turut menjawab teka-teki berhubung kaedah DBKL menjalankan tinjauan bagi membuat taksiran cukai pintu setelah dikecam oleh pembangkang dan warga kota.
Katanya, tujuh pendekatan digunakan bagi membuat tinjauan untuk mentaksirkan cukai baru dan cukai tidak dinaikkan tetapi kadar sewa semasa yang dinilai semula.

“Cara penilaian ialah pegawai ke lapangan, menggunakan ejen hartanah, melihat iklan, transaksi lalu, nasihat LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), carian internet dan kajian melalui telefon. Ia dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

“Kita tidak buat penilaian. Kita berdasarkan kadar sewaan. Kalau berdasarkan penilaian lebih teruk.
“Sebagai contoh jika rumah teres di Jalan Telawi, ketika membeli rumah itu RM75,000 30 tahun lalu, tetapi sekarang harganya tiga juta. Kalau berdasarkan tiga juta lagi teruk,” katanya.

Ahad lalu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata DBKL akan mengeluarkan saman kepada warga kota yang enggan melunaskan cukai pintu mereka pada kadar baru iaitu sebanyak 6% bermula tahun hadapan.

Katanya, kajian DBKL untuk menaikkan cukai pintu mengundang kemarahan warga kota apabila mereka tidak dimaklumkan bahawa DBKL ada perancangan menaikkan kadar cukai pintu. – 29 November, 2013.

Malaysian Insider

1 comment:

  1. salam.. tlg buat sesuatu semasa majlis pkhawinan d adakn di kawasan blok....bila mlm karaoke sampi lewat jam 11mlm...kesian pd yg ada anak2 kecil.... mohon klo bole karaoke jgn dbuat lgsg...lg baik rasanya...

    AnakPantaiDalam

    ReplyDelete