KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan lebih RM2.6 juta kepada masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai bantuan Ihya' Ramadan dan keceriaan sepanjang bulan puasa tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.51 juta merupakan bantuan untuk Ihya'Ramadan manakala RM1.08 untuk bantuan keceriaan masjid dan surau di tiga wilayah itu.

"Terdapat 70 masjid, 83 surau Jumaat (surau dibolehkan bersolat Jumaat) dan 439 surau di Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Pelancaran Ihya' Ramadan Peringkat Kebangsaan 2012 di Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil Khir yang juga Pengerusi MAIWP berkata bagi program Ihya' Ramadan, setiap masjid menerima RM5,000, surau Jumaat (RM3,500) dan surau (RM2,000) manakala bagi program keceriaan, setiap masjid menerima RM5,000, surau Jumaat (RM3,000) dan surau (RM1,000).

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir turut mengingatkan mana-mana hotel atau premis makanan yang menawarkan 'Buffet Ramadan' supaya mendapatkan sijil halal yang sah dikeluarkan Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Beliau berkata jika terdapat premis yang gagal mempamerkan sijil halal yang diiktiraf, premis berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Perintah Akta Perihal Dagangan (APD)(Penggunaan Perbahasaan 'Halal') 1972.

Premis yang tawarkan 'Buffet Ramadan' perlu mempunyai sijil halal yang sah kerana penggunaan perkataan 'Ramadan' mengikut APD 1972 pindaan 2012 diklasifikasikan sebagah perbahasaan 'Halal'.

"Dari segi perbahasaan, jika bahasanya itu halal jadi mesti miliki sijil halal seperti buffet Ramadan dijalankan hotel walaupun tiada nama halal tetapi nama buffet Ramadan itu segi perbahasaannya halal," katanya.

Mengikut APD 1972, mana-mana premis atau hotel yang didapati tidak mempunyai sijil halal yang sah akan dikenakan denda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama. - Bernama