27 August 2013

Masjid Cina Ipoh - Senibina Unik



Masjid Cina Ipoh - dirasmikan baru-baru ini.



pandangan hadapan

menara masjid


 
Masjid Muhammadiah yang terletak di Taman Tasek Jaya, Ipoh, Perak dibina dengan konsep seni bina Cina. Ia dikenali sebagai Masjid Cina dalam kalangan penduduk tempatan di samping menjadi satu lagi mercu tanda baharu kawasan berkenaan.

Masjid yang mengambil nama sempena masjid lamanya, berasal daripada Madrasah Muhammadiah yang didirikan oleh Allahyarham Abdul Latif Mohd. Kassim bersama tujuh rakannya pada tahun 1973.

Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Ipoh, Hafiz Ng Abdullah dalam satu temu bual baru-baru ini berkata, masjid itu kini diurus tadbir oleh gabungan dua buah jawatankuasa iaitu jawatankuasa Masjid Muhammadiah yang lama dan Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh.
Konsep pembinaan masjid ini mengambil sepenuhnya idea seni bina tradisional dan budaya Cina. Ia kemudian diterjemahkan di keseluruhan bangunan termasuk bumbung, pagar, dinding serta dewan solat menerusi prinsip simetri.

Binaan lantai yang lebih tinggi daripada paras tanah, tiang-tiang besar berwarna merah dan sebuah menara berbumbung yang dihiasi motif hiasan Cina berwarna hijau, menambah keunikan masjid ini.
Pintu masuk utama yang berwarna merah dihiasi tulisan Cina di bahagian kanan dan kiri manakala perkataan Masjid Muhammadiah dalam tulisan rumi di bahagian atas seolah-olah mencerminkan perjalanan sejarahnya yang tersendiri.

Masjid Muhammadiah yang menempatkan dewan solat dan ruang aktiviti itu adalah fasa pertama daripada keseluruhan kompleks dengan keluasan 0.4 hektar yang turut terdiri pusat dakwah serta rumah perlindungan.

“Rumah perlindungan itu bertujuan memberi tempat tinggal sementara terutama kepada saudara baru yang mungkin disisih oleh keluarga,” katanya.

Selain itu, dewan solat wanita di bahagian atas boleh menempatkan 200 ahli jemaah manakala ruang solat bawah mampu memuatkan 800 orang.

Pendakwah aktif itu berkata, kos bagi fasa pertama iaitu pembinaan bangunan masjid bernilai RM4 juta manakala fasa kedua merangkumi pembinaan pusat dakwah serta rumah perlindungan memerlukan kos sebanyak RM2.8 juta.

Pada 8 Oktober 2009, Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), berkenan menyampaikan geran pelancaran bernilai RM2 juta bagi tujuan membina masjid berkenaan di samping memberi perkenan terhadap pelan dan seni rekanya.

facebook
https://www.facebook.com/MasjidCina?directed_target_id=0&filter=3#!/MasjidCina

No comments:

Post a Comment