20 October 2013

Islam Agama Penutup


BAGAIMANAKAH menggabungkan kenyataan bahawa Islam adalah penutup agama-agama dan merupakan agama bagi seluruh nabi?

JAWAPAN: Hanya ada satu akidah yang dikehendaki oleh Allah daripada manusia, iaitu bermula sejak dari Nabi Adam hingga Nabi Muhammad. Secara umumnya, akidah ialah bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah iaitu Pencipta yang sangat memerhatikan ciptaan-Nya dan mengutuskan para rasul kepada manusia dalam kalangan mereka.

Maka, hendaklah manusia membenarkan para rasul itu, mengikuti mereka dan mengimani apa-apa yang mereka khabarkan tentang perintah Allah dan berita tentang akhirat.
Ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Anbiya' ayat 25; surah Ibrahim ayat 4 dan surah al-Mukminun ayat 32. Ayat ini disebut berulang kali di dalam al-Quran melalui lisan para nabi.
Berdasarkan kenyataan di atas, maka perintah beribadat hanya kepada Allah yang merupakan asas akidah Islam.

Jika dilihat dari segi akidah, boleh dikatakan bahawa ia merupakan agama bagi seluruh nabi sebagaimana yang di jelaskan oleh Allah dalam surah Ali Imran ayat 19 dan 85 serta surah al-Ma'idah ayat 3.

Dari segi syariah pula, Allah berkehendak untuk menjadikan agama Islam sebagai penutup agama. Ini dapat dilihat bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang menitikberatkan tentang soal akidah.
Malah, agama Islam juga memiliki persamaan dalam pelbagai asas ibadah, perintah dan larangan dengan seluruh syariat yang terdahulu. Setiap dosa besar seperti membunuh, berzina dan sebagainya bukan sahaja diharamkan oleh Allah dalam agama-agama terdahulu, bahkan juga diharamkan di dalam Islam.

Demikianlah juga asas-asas syariat dan ibadah yang diperintahkan oleh Allah dalam agama-agama terdahulu, seperti solat dan zakat juga didapati di dalam Islam. Yang berbeza hanyalah perincian tentang solat dan ukuran zakat, mengikut perbezaan kaum masing-masing.

Atas dasar itulah, maka Islam merupakan agama yang merangkumi akidah Islam dan syariatnya serta asas seluruh syariat yang terdahulu.

Sesungguhnya Allah menyatakan kepada umat-Nya bahawa Dia telah menyempurnakan bagi mereka agama ini, telah mencukupkan nikmat-Nya atas mereka dan telah meredai Islam sebagai agama anutan mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama milik umat ini sebagaimana juga agama para nabi dan rasul.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_03.htm#ixzz2iErfEIUP
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment