19 November 2012

2,487 Pelajar Kuala Lumpur Dapat Semua A UPSR

KUALA LUMPUR - Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini tidak banyak berbeza berbanding tahun lepas dengan beberapa negeri menunjukkan peningkatan dalam jumlah dan peratusan murid yang memperoleh keputusan semua A.

Selain Kuala Lumpur, negeri yang mencatat peningkatan ialah Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Sabah dan Perlis.

Tujuh negeri pula mencatat sedikit penurunan iaitu Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Selangor, Johor dan Melaka.

Di KUALA LUMPUR, 2,487 atau 10.35 peratus daripada 24,021 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.37 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,441 murid daripada 22,766 calon mendapat semua A.

Beliau berkata, tiga sekolah yang mencatat pencapaian semua A tertinggi ialah Sekolah Kebangsaan Setiawangsa (97 murid), Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (93 murid) dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (89 murid).

Di KUCHING, 2,010 daripada 45,946 calon UPSR Sarawak mencatat keputusan semua A berbanding 1,835 calon tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 175 orang atau 0.22 peratus, kata Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam.

Beliau berkata, seramai 26,009 calon atau 56.9 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya penguasaaan minimum Gred C dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding 24,344 calon atau 55.52 peratus pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 1.38 peratus.

Di SEREMBAN, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Kalsom Khalid berkata, seramai 2,197 orang atau 11.4 peratus memperoleh keputusan penuh 5A atau 7A berbanding 2,169 calon atau 11.6 peratus pada 2011.

Beliau berkata, seramai 13,632 calon atau 70.9 peratus pelajar mencapai tahap penguasaan minimum gred 'C' dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil, meningkat 2.6 peratus berbanding pencapaian 2011.

Di KUANTAN, jumlah pelajar UPSR di Pahang yang memperoleh keputusan 5A turut meningkat kepada 3,025 berbanding 2,977 tahun lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi Ismail berkata seramai 19,152 calon pula berjaya menguasai semua mata pelajaran iaitu mendapat gred A, B dan C.

Dalam masa sama, beliau berkata pencapaian calon UPSR sekolah di tanah rancangan Felda yang berjaya mendapat gred serupa juga menunjukkan trend peningkatan iaitu 452 orang daripada 5,062 calon berbanding tahun lepasa, 446 orang dari 5,004 calon.

Di KANGAR, walaupun jumlah calon UPSR negeri Perlis tahun ini berkurangan namun jumlah yang mencatat keputusan cemerlang meningkat kepada 416 orang berbanding 388 orang pada 2011.

Pengarah Pelajaran Perlis Dun Kasa berkata peratus kelulusan keseluruhan juga meningkat sebanyak 3.31 peratus kepada 65.71 peratus. - Bernama

2 comments:

  1. tahniah pada yang berjaya

    ReplyDelete
  2. pelajar yg dapat 5A UPSR atau 8A UPSRA atau kedua2nya, sila hantar slip periksa anda ke pihak surau dengan segera, majlis anugerah cemerlang akan diadakan tidak lama lagi

    ReplyDelete