02 November 2012

SPM Bermula Isnin Ini

Seramai 472,541 calon duduki SPM Isnin ini

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Seramai 472,541 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,590 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Isnin ini hingga 6 Disember.

Sebanyak 415,530 calon daripada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 7,708 calon daripada sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian dan 7,946 calon daripada sekolah menengah agama negeri.

Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini berkata, turut menduduki peperiksaan tahun ini ialah 11,309 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian, 28,148 calon sekolah menengah agama rakyat dan 1,900 calon persendirian.
Kenyataan itu berkata seramai 30,239 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan calon untuk merujuk jadual waktu peperiksaan, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan serta membuat persiapan awal bagi menghadapi perkara yang mungkin menghalang atau melewatkan mereka sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Mereka diingatkan membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.

"Calon juga sentiasa diminta untuk peka dan mengikut perkembangan terkini melalui media sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan," kata kenyataan itu.
Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri juga telah dimaklumkan mengenai Ops Payung berkaitan banjir dan sekolah yang berisiko tinggi, dan telah diarah untuk menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang selamat.

Bantuan tempat tinggal, makanan dan keperluan asas akan disalur kepada calon yang terjejas akibat banjir dan Kementerian Pelajaran akan bekerja sama dengan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan dengan selamat, kata Lembaga Peperiksaan.

Bilik Gerakan Peperiksaan SPM akan beroperasi sepanjang peperiksaan berlangsung bermula dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang dan boleh dihubungi di talian 03-88843024/03-88893551/03-88893601 atau 03-88893520. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121102/dn_29/Seramai-472541-calon-duduki-SPM-Isnin-ini#ixzz2B4RbsOja
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment