19 December 2012

1838 Calon PMR di KL Dapat Semua A

Tahniah kepada semua pelajar PPR Pantai Ria yang mendapat keputusan yang baik dalam PMR 2012. Bagi yang mencapai keputusan cemerlang atau semua A dalam semua matapelajaran, sekalung tahniah atas kejayaan anda. Berterimakasihlah kepada semua pihak terutama  ibubapa serta guru-guru yang turut membantu kejayaan anda.

Jika anda mendapat sekurang2nya 7A dalam PMR ini, sila maklumkan dengan segera kepada pihak surau kerana kami akan adakan Majlis Anugerah Cemerlang pada 28 Disember ini, Jumaat jam 7.45 malam. Semua pelajar serta ibubapa dijemput hadir.

Kepada yang kurang berjaya, jangan putus asa kerana masa masih panjang untuk anda membuktikan kebolehan anda pada peringkat SPM nanti, kerana terbukti ramai yang tidak berjaya dalam PMR tapi cemerlang dalam SPM. Buktikan bahawa anda boleh !



Petikan dari Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Seramai 30,474 atau 6.92 peratus daripada 481,424 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012, mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

Di KUALA LUMPUR, empat sekolah memperoleh kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah (Sains) Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria.
Timbalan Pengarah Pelajaran Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar/Pudu Ismail Musa berkata secara keseluruhannya di Wilayah Persekutuan , Gred Purata Negeri (GPN) dalam 17 mata pelajaran adalah lebih baik berbanding Gred Purata Nasional.

"GPN calon PMR tahun ini mencatatkan 2.60 berbanding 2.71 dalam Gred Purata Nasional (lebih rendah lebih baik).

"Seramai 1,838 dari 23,530 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 2,296 calon pada tahun lepas.

  
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan Datuk Dr Amin Senin berkata ini menunjukkan penurunan 0.85 peratus berbanding pencapaian tahun lepas yang merekodkan seramai 34,271 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

Bagaimanapun jumlah calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 346 orang (0.08 peratus) pada tahun lepas kepada 241 orang (0.05 peratus) tahun ini," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2012, di Putrajaya hari ini.

Amin berkata berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), tujuh mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup Bersepadu, Pendidikan Kesenian, Bahasa Tamil dan Bahasa Punjabi menunjukkan peningkatan prestasi, manakala sepuluh yang lain menunjukkan penurunan prestasi.

"Bahasa Melayu menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 0.04 mata, namun prestasi Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik menunjukkan penurunan masing-masing 0.12 mata, 0.02 mata dan 0.01 mata," katanya.

Beliau berkata pencapaian secara keseluruhannya dalam 17 mata pelajaran stabil dengan indeks Gred Putara Nasional (GPN) kekal pada 2.1 mata seperti 2011.

Begitu juga meskipun pencapaian calon bandar lebih baik daripada calon di luar bandar, namun jurang pencapaiannya berjaya dirapatkan sebanyak 0.03 mata GPN iaitu daripada 0.29 mata pada 2011 kepada 0.26 mata pada 2012.

"Pada tahun ini pencapaian calon di bandar kekal pada indeks GPN 2.61 mata seperti tahun lepas, manakala pencapaian calon di luar bandar menunjukkan peningkatan sebanyak 0.03 mata GPN, iaitu daripada GPN 2.90 mata pada 2011 kepada 2.87 mata pada tahun ini," katanya.

Menurutnya pencapaian calon berkeperluan khas juga meningkat dengan 14 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran daripada 1,736 pelajar yang menduduki peperiksaan, berbanding 12 calon daripada 1,370 calon tahun lepas.

"Bilangan calon berkeperluan khas yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum dalam semua mata pelajaran berjaya dikurangkan sebanyak 1.14 peratus iaitu daripada 2.41 peratus pada 2011 kepada 1.27 peratus pada 2012," katanya.

Amin berkata bilangan pelajar yang mendapat gred A dalam Bahasa Melayu meningkat sebanyak 1.2 peratus, daripada 26.3 peratus pada 2011 kepada 27.5 peratus pada tahun ini.

Begitu juga, katanya peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum iaitu gred A,B,C,D meningkat sebanyak 0.4 peratus, daripada 94.0 peratus pada 2011 kepada 94.4 pada 2012.

Namun bagi mata pelajaran Inggeris, peratusan calon yang mendapat gred cemerlang berkurangan sebanyak 1.6 peratus iaitu daripada 18.4 peratus pada 2011 kepada 16.8 peratus pada tahun ini.

Di samping itu peratusan calon yang tidak melepasi tahap penguasaan minimum iaitu gred E juga meningkat sebanyak 2.8 peratus daripada 21.3 peratus pada 2011 kepada 24.1 peratus pada 2012.

Amin berkata penurunan prestasi mata pelajaran Inggeris sudah dijangka berikutan pertukaran buku teks yang baharu.

"Untuk Bahasa Inggeris, kita jangka penurunan sebab mulai tahun lepas diperkenalkan teks baharu dalam komponen sastera Bahasa Inggeris, jadi ia merupakan salah satu sebab penurunan prestasinya. Bagi mata pelajaran lain kita masih kaji lagi," katanya.

Menurutnya, prestasi mata pelajaran Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun juga menurun berbanding tahun lepas iaitu masing-masing 0.12 mata, 0.13 mata, 0.11 mata dan 0.29 mata.

Begitu juga prestasi dan GPMP Pendidikan Islam menurun di mana peratusan calon yang mendapat gred A menurun 1.5 peratus iaitu daripada 24.4 peratus pada 2011 kepada 22.9 peratus pada 2012.

"Dalam kumpulan mata pelajaran elektif bahasa, mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan peratusan calon yang mendapat gred A adalah Bahasa Tamil dan Bahasa Punjabi iaitu masing-masing sebanyak 0.5 peratus dan 6.1 peratus," katanya.

Begitu juga prestasi mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) yang merangkumi Kemahiran Teknikal, Ekonomi Rumah Tangga, Pertanian dan Perdagangan dan Keusahawanan serta Pendidikan Kesenian yang merangkumi empat bidang kesenian iaitu Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual juga menunjukkan prestasi meningkat.


Di SEREMBAN, seramai 1,500 calon atau 8.3 peratus daripada sejumlah 18,161 calon berjaya mendapat keputusan penuh 9A, 8A dan 7A dan keputusan itu membolehkan Negeri Sembilan berada dalam kelompok lima negeri yang terbaik dalam prestasi PMR 2012 dari segi calon cemerlang.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali berkata GPN bagi PMR di Negeri Sembilan ialah 2.65 berbanding 2.66 pada tahun lepas.

Antara 15 buah sekolah terbaik dalam PMR 2012 di negeri ini ialah Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Menengah (SM) Sains Rembau, Sekolah Datuk Abdul Razak, SM Sains Tuanku Ja'afar, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Sekolah Menengah Kebangsaan King George V dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Haji Mohd Said.

Di SABAH, 922 daripada 23,330 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran dan pencapaian ini menurun berbanding 1,025 orang pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Dr Muhiddin Yussin berkata pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR dalam 14 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam tempoh dua tahun berdasarkan pencapaian GPN iaitu 3.01 pada tahun ini berbanding 3.03 pada tahun lepas.

Katanya 13 sekolah terbaik di seluruh Sabah termasuk Sekolah Menengah Sains Sabah mencatatkan 100 peratus lulus selain Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Shah di Inanam, Sekolah Menengah Islamiah Tawau dan Sekolah Menengah Sains Lahad Datu.

Pencapaian bagi lapan mata pelajaran meningkat iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Matematik, Sains, Kemahiran Teknikal dan Ekonomi Rumah Tangga manakala Pendidikan Islam pula kekal.

Enam mata pelajaran mencatatkan penurunan iaitu Bahasa Inggeris, Kemahiran Pertanian, Kemahiran Perdagangan dan Keusahawanan, Bahasa Arab, Bahasa Cina dan Bahasa Kadazandusun, katanya.

Di PULAU PINANG, jumlah calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 2,355 pelajar berbanding 2,348 calon pada tahun lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Dr Sharifah Bee Aboo Bakar berkata sejumlah 23,788 calon mengambil PMR di 164 buah pusat peperiksaan di negeri itu.

Tiga calon berkeperluan khas mendapat keputusan cemerlang iaitu dua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St George, Neoh Xin Ee (rabun) yang memperoleh 7A dan Chew Sui Teng (buta) mendapat 6A 1B manakala seorang lagi dari SMJK Jit Sin, Khor Wei Quan (rabun) mendapat 7A 1B.

Sembilan sekolah memperoleh kelulusan 100 peratus iaitu SMK Bukit Jambul, Sekolah Menengah (SM) Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, SM Sains Kepala Batas, SMK P) St George, SMK Datuk Onn, SMKA (P) Al-Mashoor, SMK Tinggi Bukit Mertajam, SMJK Chung Ling dan SMK Seri Nibong.

Di KEDAH, seramai 2,083 daripada 35,054 calon mendapat semua A dalam peperiksaan PMR di negeri itu, namun keputusan itu menurun berbanding 2,276 calon pada tahun lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Rooslee Ismail berkata peratusan calon yang mendapat pencapaian tahap minimum bagi semua mata pelajaran juga menurun daripada 66.14 peratus pada tahun lepas kepada 64.26 peratus tahun ini.

Di PERAK, pencapaian calon PMR dalam 15 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun berdasarkan GPN iaitu 2.73 mata berbanding 2.74 mata tahun lepas.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri Abdul Ghani Mohamad Niza berkata pencapaian calon cemerlang yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran menurun sebanyak 337 orang iaitu daripada 3,513 orang pada tahun lepas kepada 3,176 orang tahun ini.

Antara sekolah yang mencatatkan keputusan cemerlang ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Menengah Sains Tun Azlan Shah, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Tapah dan SMK Raja Permaisuri Bainun.

Di TERENGGANU, 27 buah sekolah berjaya mendapat Gred Purata Sekolah cemerlang dalam peperiksaan PMR tahun ini berbanding 26 buah sekolah pada tahun lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu Hashim Mohd Zin berkata pencapaian gemilang semua A dicatatkan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut dari tahun 2009 (7.12 peratus), 2010 (7.81 peratus) dan 2011 (8.95 peratus, namun pada tahun ini berkurangan sebanyak 1.81 peratus kepada 7.15 peratus.

Seramai 23,025 calon menduduki peperiksaan PMR tahun ini berbanding 23,157 pada tahun lepas iaitu pengurangan sebanyak 9.29 peratus.

Di JOHOR, keputusan PMR tahun ini merupakan pencapaian terbaik untuk kali keempat berturut-turut dengan gred purata negeri 2.69 mata walaupun hanya 3,916 pelajar sahaja daripada 58,324 calon yang mendapat semua A dalam mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Mohd Nor A. Ghani berkata Johor merekodkan keputusan terbaik dengan 6.29 peratus, melepasi gred purata kebangsaan bagi pelajar yang mendapat semua A dalam mata pelajaran mereka.

Beliau berkata 68.89 peratus pelajar di negeri ini mendapat keputusan yang baik dalam mata pelajaran Matematik, Sains, English dan Bahasa Malaysia.

Di PAHANG, keputusan PMR tahun ini merupakan pencapaian terbaik negeri ini dalam tempoh tiga tahun berdasarkan GPN dengan mencatatkan 2.64 mata berbanding pada 2011 iaitu 2.65 mata dan 2010 (2.66).

Ketua Sektor Perkiraan dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Pahang Hashim Mohd Zayat berkata 1,398 daripada 25,686 calon mendapat semua A, manakala 15,850 pula berjaya menguasai semua mata pelajaran.

Hashim berkata GPMP turut mencatatkan peningkatan kecuali Bahasa Inggeris, Sains, Bahasa Tamil dan Pendidikan Islam.

Beliau berkata 11 daripada 22 Sekolah Rancangan Khas di Pahang mendapat keputusan 100 peratus dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib muncul sebagai sekolah terbaik.

Di MELAKA, seramai 982 daripada 15,015 calon mendapat A bagi semua mata pelajaran, merangkumi 134 calon yang memperoleh 8A, 506 calon mendapat 7A dan 58 calon lagi 6A.

Timbalan Pengarah Pelajaran Melaka Abdul Mutalib Osman berkata GPN Melaka kekal pada 2.64 dan ini lebih baik berbanding 2.77 bagi tahun 2008, 2.67 pada tahun 2009 dan 2.65 pada 2010.

Selain itu, tiga buah sekolah iaitu SM Sains Muzaffar Shah, SMK Tinggi Perempuan Melaka dan SMK Iskandar Shah mencatatkan pencapaian membanggakan melibatkan 100 peratus calon menguasai sekurang-kurangnya D semua mata pelajaran).

Di SARAWAK, seramai 1,781 calon daripada 38,856 calon PMR mendapat semua A berbanding 1,948 calon pada tahun lepas, kata Pengarah Pelajaran negeri Abdillah Adam.

Katanya pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR di Sarawak menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 1.8 peratus kepada 67.17 peratus daripada 68.97 peratus tahun lepas.

Lapan buah sekolah yang mencapai 100 peratus bagi semua mata pelajaran ialah Sekolah Sains Kuching, Sekolah Menengah Sains Miri, Sekolah Seni Kuching, Maktab Rendah Sains Mara Mukah, Sekolah Menengah Lodge, Kuching dan Sekolah Menengah Tunku Putra Kuching.

Di MELAKA, Seramai 982 daripada 15,015 pelajar yang menduduki peperiksaan PMR di Melaka memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pelajaran Melaka Abdul Mutalib Osman berkata pencapaian keseluruhan calon PMR di negeri itu adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun berdasarkan nilai GPN iaitu 2.64.

Sementara itu, seorang daripada pelajar cemerlang, Muhammad Daniel Idrus dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tinggi Cina Melaka tidak menjadikan bahasa sebagai penghalang untuk memperoleh keputusan 9A dalam PMR.

"Saya meminati bahasa Cina dan akan membuat latihan dengan rakan dan guru di sekolah bagi membantu saya menguasai bahasa ini," katanya.

Di KANGAR, Perlis mencatat kemerosotan 3.47 peratus kelulusan pada peperiksaan PMR tahun ini kepada 60.23 peratus berbanding tahun 2011 iaitu 63.70 peratus.

Pengarah Pelajaran Perlis Dun Kasa berkata kemerosotan turut berlaku pada jumlah calon yang mencapai tahap cemerlang yang memperolehi 7A, 8A dan 9A apabila 244 calon berjaya mencatat kecemerlangan itu berbanding 327 calon pada tahun lalu.

Tiga buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma dan SMK Datuk Sheikh Ahmad.

Di KELANTAN, seramai 1,655 calon atau 5.79 peratus mencatat keputusan A dalam PMR tahun ini berbanding 2,140 calon atau 7.37 peratus pada 2011.

Pengarah Pelajaran Kelantan Hussin Awang berkata peratusan calon yang mencapai tahap penguasaan minimum iaitu D atau lulus bagi semua mata pelajaran turut menunjukkan penurunan iaitu 65.80 peratus tahun ini berbanding 67.73 tahun lepas membabitkan 18,807 calon.

Di SELANGOR, sejumlah 6,739 daripada 78,665 calon mendapat keputusan semua A iaitu berkurangan 832 calon berbanding keputusan pada 2011.

Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim berkata jumlah calon yang mendapat keputusan minimum D (tidak termasuk semua A) di negeri itu mencatatkan peningkatan 1,920 calon pada tahun ini iaitu seramai 51,326 orang berbanding 49,406 orang pada tahun lepas.

Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor mencatatkan peratus lulus terbaik iaitu 100 peratus manakala Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor merupakan sekolah yang mencatat gred purata sekolah terbaik iaitu 1.02. - Bernama

No comments:

Post a Comment