29 March 2013

Siapakah Malaikat Jibril ?





Malaikat Jibril


Malaikat Jibril adalah malaikat yang menyampaikan wahyu kepada para Nabi dan Rasul.  Berdasarkan kepada Al-Quran, Malaikat Jibril juga merupakan ketua kepada keseluruhan para Malaikat.

Malaikat Jibrail a.s. adalah salah satu dari para malaikat yang cantik, besar, kuat dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Ia ditugaskan sebagai penyampai wahyu kepada para rasul a.s. Malaikat Jibrail a.s. mempunyai enam ratus sayap, setiap sayapnya menutupi ufuk. Dari sayapnya berjatuhan permata dan yakut yang berwarna warni. Imam Ahmad r.a dengan sanadnya dari Ibn Mas'ud r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku melihat Jibrail di Sidratul Muntaha, dia mempunyai enam ratus sayap".

Tetapi secara keseluruhannya, Malaikat Jibril turun kepada baginda Muhammad s.a.w. sebanyak 124,000 kali, tidak seperti nabi yang lain. Nabi Isa a.s. hanya ditemui 10 kali oleh Malaikat Jibril manakala Nabi Musa a.s. beberapa puluh kali.

Malaikat Jibril sering turun ke bumi dan berubah menyerupai manusia (lazimnya lelaki) untuk mudah bertemu dengan para nabi. Antaranya adalah peristiwa ketika Jibril bertanyakan Nabi Muhammad s.a.w. tentang Iman, Islam dan ihsan serta tanda hari kiamat. Jibril juga pernah mengiringi Nabi Muhammad s.a.w. dalam Isra’ dan Mikraj iaitu perjalanan malam dari Makkah ke Baitul Maqdis lalu naik ke langit sebelum Nabi Muhammad sendiri menemui Allah di Sidratul Muntaha.


Nama Malaikat Jibril ada disebut di dalam al-Quran iaitu:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman." – (Surah Al-Baqarah: 97)

"Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir." – (Surah Al-Baqarah: 98)

"Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi) dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya" – (Surah At-Tahrim: 4)

Malaikat Jibril a.s. mampu terbang dalam keadaan yang sangat pantas. Seperti kalau ada orang bertanyakan sesuatu kemusykilan agama kepada Rasulullah s.a.w., belum pun selesai pertanyaan itu, malaikat Jibril a.s. telah pun sampai dengan jawapan berupa wahyu dari Allah s.w.t. Padahal jarak antara setiap lapisan langit adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan.

Ketika Allah s.w.t. memerintahkan malaikat Jibril a.s. turun untuk memusnahkan kaum nabi Luth a.s., dikatakan malaikat Jibril a.s mampu mengangkat kesemua tujuh bandar yang didiami oleh 400,000 orang, haiwan, rumah serta bangunan dan kesemuanya hanya dengan menggunakan hujung satu sayapnya sahaja, lalu diangkat hingga ke permukaan langit, sehinggalah para malaikat yang berada di langit dapat mendengar bunyi kokokan ayam dan lolongan anjing yang turut berada dalam bandar-bandar tersebut. Kemudian malaikat Jibril a.s. membalikkan bandar-bandar tersebut hingga menjadilah bahagian atasnya terlungkup ke bawah.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Jibril a.s. sentiasa mengharap hendak menjadi manusia kerana tujuh perkara :-

Manusia boleh

1. sembahyang lima waktu secara berjemaah
2. duduk bersama para ulama
3. menziarahi orang sakit
4. menghantar jenazah ke kubur
5. memberi air minum
6. mendamaikan di antara 2 orang yang bermusuh-musuhan
7. memuliakan jiran dan anak-anak yatim


No comments:

Post a Comment