KUALA LUMPUR - Lebih 20,000 penduduk di sekitar Lembah Pantai bakal menikmati kemudahan Perpustakaan 1Malaysia bertaraf kompleks yang akan beroperasi awal tahun depan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pembinaan perpustakaan berkeluasan 17,000 kaki persegi itu yang boleh menyediakan 15,000 bahan bacaan, akan dibuat secepat mungkin dengan pembiayaan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

"Perpustakaan dua tingkat ini boleh memuatkan 100 pengunjung yang akan menggunakan perkhidmatan pinjaman buku dan pembinaan perpustakaan ini juga mampu meningkatkan kebolehcapaian masyarakat terhadap maklumat yang luas.

"Reka bentuk pembinaan perpustakaan ini moden dan kelengkapan untuk kegunaan orang ramai juga berteknologi tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Projek Perpustakaan 1Malaysia Lembah Pantai di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah MRCB, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup.

Raja Nong Chik berkata, MRCB juga akan membina dua lagi Perpustakaan 1Malaysia di Taman Medan Idaman bagi kawasan Parlimen Wangsa Maju dan di Jalan Wirawati (kawasan Parlimen Titiwangsa) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2015.

Beliau berkata, pembinaan perpustakaan berkonsepkan pusat ilmu komuniti setempat adalah itu di kawasan majoriti penduduk berpendapatan rendah.

MRCB juga akan menyediakan 24 komputer selain 1,500 bahan bacaan, bilik komputer dan kelengkapan perpustakaan untuk ketiga-tiga kompleks Perpustakaan 1Malaysia dan DBKL bertanggungjawab mengurus serta menyelenggara tiga perpustakaan tersebut.

Raja Nong Chik juga berharap kemudahan itu tidak disalah guna dengan kegiatan tidak bermoral atau dirosakkan. - Bernama